Critical Holdings dapat kelulusan pindah ke Pasaran Utama Bursa Malaysia | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Critical Holdings dapat kelulusan pindah ke Pasaran Utama Bursa Malaysia

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 8 Sept - Critical Holdings Berhad menerima kelulusan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) bagi memindahkan penyenaraiannya dari Pasaran ACE ke Pasaran Utama Bursa Malaysia.


Syarikat kejuruteraan teknologi yang berpangkalan di Pulau Pinang tersebut berkata, kelulusan rasmi berkenaan telah diberikan oleh SC melalui surat bertarikh 3 September 2025.


Pencapaian tersebut katanya, berjaya diperoleh kurang daripada tempoh dua tahun selepas kumpulan berkenaan telah disenaraikan di Pasaran ACE pada 14 Disember 2023.


"SC mengambil maklum yang Critical Holdings telah memenuhi syarat pemilikan ekuiti Bumiputera bagi syarikat tersenarai awam," kata syarikat tersebut dalam makluman kepada Bursa Malaysia.


Saham kumpulan ini telah melonjak 66% daripada paras terendah tahun ini iaitu 58 sen pada April 2025, dan hampir tiga kali ganda berbanding harga tawaran awam permulaan sebelum disenaraikan.


Ketua Pegawai Eksekutif, Tan Si Lim dan Ketua Pegawai Operasi, Chow Chin Seang, menguasai 70% kepentingan syarikat menerusi jentera pelaburan persendirian mereka, TCCO Holdings Sdn Bhd.


Bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2025 (FY25), Critical Holdings mencatat lonjakan keuntungan bersih sebanyak 45% kepada RM27.96 juta, disokong oleh peningkatan hasil kepada RM328.92 juta.


Ia merupakan peningkatan kira-kira 22.6% berbanding tahun sebelumnya dengan segmen kejuruteraan kekal penyumbang utama iaitu 95%, manakala baki daripada segmen penyelenggaraan dan perkhidmatan.


Dengan kelulusan pemindahan ke Pasaran Utama, Critical Holdings kini berada di landasan yang kukuh untuk menarik minat institusi pelaburan lebih besar, sekali gus memperkukuhkan profilnya.


Kumpulan berkenaan terkenal sebagai antara penyedia utama dalam perkhidmatan kejuruteraan mekanikal, elektrikal dan utiliti proses di Malaysia sejak ditubuhkan pada 23 Disember 2004.


Pemindahan ini dijangka memperluaskan akses modal, selain meningkatkan kecairan saham serta keyakinan pasaran terhadap prospek jangka panjang syarikat itu. - DagangNews.com