KUALA LUMPUR 5 Nov – Crescendo Corporation Berhad menjual sebidang tanah bebas pajakan bersama pejabat kedai empat tingkat di Johor Bahru, Johor dengan nilai pertimbangan sebanyak RM4.018 juta.
Syarikat itu berkata, ia dilupuskan anak syarikat miliknya, Crescendo Development Sdn Bhd (CDSB) menerusi perjanjian jual‑beli (SPA) pada 5 November 2025 dengan Wilgain Resources Sdn Bhd (WRSB).
Penjualan aset tersebut melibatkan tanah di Lot HS(D) 630436 PTD 250772, Desa Cemerlang, Mukim Plentong, berkeluasan kira‑kira 270 meter persegi bersama sebuah bangunan yang boleh disewakan.
"Transaksi ini sebahagian pembangunan projek campuran dilancarkan Ogos 2024 meliputi pembinaan 12 unit pejabat kedai empat tingkat dan 45 unit lagi tiga tingkat," maklumnya kepada Bursa Malaysia.
Selain itu, Crescendo menyatakan yang harga jualan berkenaan sudah ditetapkan berdasarkan harga semasa pasaran, dengan turut mengambil kira kos pembangunan dan nilai hartanah di kawasan sekitarnya.
Tambah syarikat berkenaan, hasil keuntungan daripada transaksi pelupusan tersebut dijangka tidak memberi apa-apa kesan material untuk tahun kewangan berakhir pada 31 Januari 2026 dan 31 Januari 2027.
Jualan itu namun akan diiktiraf secara progresif mengikut jadual siap bina projek yang disahkan arkitek, manakala dana pelupusan digunakan CDSB untuk membiayai kos pembangunan dan modal kerja.
"Pelupusan ini juga tidak akan memberi sebarang kesan ke atas modal saham, pemegang saham besar, aset bersih atau kadar hutang syarikat bagi dua tahun kewangan akan datang," kata Crescendo.
Selain itu jelasnya, langkah tersebut tidak menjadikan ia sebagai syarikat di bawah Nota Amalan 17, dan nisbah peratusan tertinggi transaksi hanya 0.2853% berdasarkan pengauditan terkini 31 Januari 2025.
Urus niaga ini juga tambahnya, dilaporkan melibatkan beberapa pengarah serta pemegang saham utama yang mereka mempunyai kepentingan secara langsung dalam kedua‑dua pihak sama ada CDSB dan WRSB.
Bagaimanapun, penjualan itu sudah disemak oleh Jawatankuasa Audit Crescendo yang menganggap ia adil dan munasabah serta tidak memudaratkan pemegang saham minoriti. - DagangNews.com








