KUALA LUMPUR 22 Ogos – CPE Technology Berhad berjaya mencatatkan lonjakan keuntungan bersih kumpulan itu sebanyak 112% kepada RM23.5 juta bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2025 (FY25).
Syarikat tersenarai di Pasaran ACE Bursa Malaysia itu berkata, ia meningkat daripada RM11.1 juta pada tahun sebelumnya didorong permintaan memberangsangkan daripada sektor semikonduktor global.
Kumpulan pengeluar komponen dan alat ganti berketepatan tinggi janaan komputer itu turut merekodkan pertumbuhan hasil tahunan sebanyak 43% kepada RM129.1 juta, naik daripada RM90.1 juta pada FY24.
"Keuntungan sebelum cukai (PBT) juga meningkat lebih dua kali ganda kepada RM30.6 juta, berbanding RM14.3 juta sebelumnya dengan pertumbuhan ketara banyak dipacu oleh permintaan tinggi," katanya.
Antaranya komponen kejuruteraan daripada pelanggan dalam industri semikonduktor kerana dalam suku keempat FY25 sahaja, hasil syarikat itu meningkat 40% tahun ke tahun (YoY) kepada RM32.4 juta.
Sementara PBT bagi suku tersebut tambah CPE, turut meningkat 24.6% kepada RM4.6 juta dengan sektor semikonduktor didapati menyumbang RM22.1 juta atau 68% daripada jumlah hasil pada suku tersebut.
Angka berkenaan kata kumpulan tersebut, meningkat sebanyak 53.4% berbanding tempoh yang sama tahun lalu, namun keuntungan pada suku tersebut mengalami sedikit terkesan oleh dua faktor luar biasa.
"Ia melibatkan peruntukan tambahan sebanyak RM950,000 untuk keperluan inventori perlahan aliran, serta masalah kerugian tukaran asing tidak nyata sebanyak RM2.3 juta," kata syarikat berkenaan.
Menurut syarikat, langkah ini adalah sebahagian daripada dasar penilaian inventori yang berhati-hati, dan tidak dijangka memberi sebarang kesan kepada pertumbuhan jangka panjang kumpulan.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Lee Chen Yeong berkata, pencapaian kali ini mencerminkan asas perniagaan yang kukuh dan keyakinan tinggi pelanggan terhadap kepakaran CPE.
Tambah beliau, walaupun terdapat ketidaktentuan dalam perdagangan global akibat isu tarif Amerika Syarikat (AS) sejak April 2025, syarikat berkenaan melihat situasi tersebut sebagai peluang baik.
"Ketika sifat rantaian bekalan global itu sendiri semakin terpelbagai, Malaysia dan Singapura pula sedang muncul sebagai hab yang penting dalam industri semikonduktor peringkat dunia,” jelasnya.
CPE kata Chen Yeong, sedang melaksanakan pelaburan strategik bagi mengukuh keupayaan pengeluaran dan sehingga 30 Jun 2025, kumpulan itu telah meluluskan komitmen modal sebanyak RM7.8 juta.
Langkah berkenaan bagi pembelian sejumlah 24 mesin baharu, bertujuan meningkatkan kapasiti dan kecekapan operasi untuk memenuhi permintaan pelanggan yang semakin meningkat. - DagangNews.com








