KUALA LUMPUR 14 April – Country Heights Holdings Berhad mengumumkan pelantikan Mohd Rizal Zubair sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) yang baharu dan berkuat kuasa pada 15 April 2026.
Menurut makluman kumpulan itu kepada Bursa Malaysia, pelantikan beliau yang memiliki lebih 30 tahun pengalaman luas, dalam usaha memperkukuh kepimpinan strategik dan prestasi operasi kumpulan.
Kepakaran Mohd Rizal, 55, meliputi audit, kewangan, pengurusan pelaburan, penstrukturan semula korporat serta kepimpinan strategik di pelbagai organisasi termasuk syarikat tersenarai dan entiti kerajaan.
"Beliau sebelum ini CEO Kumpulan UKM Holdings Sdn Bhd dari Oktober 2022 hingga Mac 2026, yang mengetuai isu pelaburan, penjagaan kesihatan, perundingan dan hartanah," kata Country Heights.
Mohd Rizal memulakan kerjayanya sebagai juruaudit di Ernst & Young, sebelum pernah menyandang jawatan kanan termasuk Naib Presiden Kewangan di Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA).
Selain itu, beliau pernah menjadi Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan Bina Darulaman Berhad serta peranan kepimpinan di SME Bank Malaysia Berhad, Halim Mazmin Berhad dan Malakoff Corporation Berhad.
Graduan Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan dan Ijazah Sarjana Muda Perakaunan dari Universiti Malaya (UM) ini turut merupakan seorang akauntan yang bertauliah dengan keahlian profesional.
"Antaranya, Mohd Rizal menjadi anggota dalam Chartered Institute of Management Accountants (CIMA) dan Institut Akauntan Malaysia (MIA)," jelas kenyataan Country Heights tersebut hari ini.
Lembaga pengarah berkata, pengalaman luas beliau dalam pemulihan korporat, pengurusan kewangan serta perancangan pelaburan dijangka memperkukuh prestasi operasi dan memacu pertumbuhan mampan.
Menurut syarikat tersebut, Mohd Rizal tiada sebarang kepentingan dalam aspek sekuriti, konflik kepentingan atau hubungan kekeluargaan dengan mana-mana pengarah atau pemegang saham utamanya.
Pelantikan ini turut dilihat sebagai langkah strategik Country Heights dalam memperkukuh hala tuju perniagaan serta meningkatkan nilai kepada pemegang saham. - DagangNews.com








