Cosmos Technology peroleh kontrak bekal aset air Ranhill SAJ bernilai RM22.3 juta di Johor | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Cosmos Technology peroleh kontrak bekal aset air Ranhill SAJ bernilai RM22.3 juta di Johor

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 20 NovCosmos Technology International Berhad menerima kontrak daripada Ranhill SAJ Sdn Bhd untuk membekalkan dan menghantar peralatan aset air serta alat ganti di seluruh Johor.


Kumpulan penyedia rumusan teknologi air secara bersepadu tempatan itu berkata, surat penerimaan tender berkenaan diraih oleh anak syarikat milik penuhnya sendiri, Cosmos Instruments Sdn Bhd.


Kontrak selama dua tahun, bermula 1 Disember 2025 itu, mempunyai nilai anggaran sehingga RM22.3 juta, bergantung kepada kuantiti sebenar pesanan dikeluarkan oleh Ranhill SAJ sepanjang tempoh itu.


"Tender ini dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan dan aset bersih kumpulan bermula tahun kewangan berakhir 30 April 2026, selari penjanaan hasil," maklumnya kepada Bursa Malaysia.


Syarikat berkenaan yang ditubuhkan pada 2019, turut menegaskan bahawa kontrak ini tidak memberi sebarang kesan ke atas modal saham, struktur pegangan saham atau nisbah hutang bersih kumpulan.


Pembekalan peralatan aset air dan alat ganti merupakan sebahagian daripada aktiviti utama Cosmos Technology dan tiada risiko material dijangka selain daripada risiko operasi biasa industri.


Pada masa sama tambahnya yang beribu pejabat di Bukit Damansara, Kuala Lumpur, kontrak tersebut turut tidak melibatkan sebarang kepentingan pengarah, pemegang saham utama atau pihak berkaitan. 


Pihak lembaga pengarah menzahirkan keyakinan bahawa kontrak bersama Ranhill SAJ ini akan meningkatkan prospek pertumbuhan serta memberikan nilai tambah kepada kumpulan pada masa hadapan.


"Selain itu, tiada sebarang kelulusan daripada pemegang saham atau pihak berkuasa yang diperlukan untuk melaksanakan kontrak ini," jelasnya. - DagangNews.com