Coraza sasar rekod hasil tertinggi FY25 dipacu buku tempahan teguh RM90 juta – TA Securities | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Coraza sasar rekod hasil tertinggi FY25 dipacu buku tempahan teguh RM90 juta – TA Securities

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 5 DisCoraza Integrated Technology Berhad dijangka mencatat prestasi lebih kukuh pada FY25, disokong oleh faktor buku tempahan yang bernilai RM90 juta, menurut TA Securities.


Firma penyelidikan tersebut berkata, ia antara sasaran dilaporkan pada sesi taklimat penganalisis 3QFY25, dengan pihak pengurusan itu berkeyakinan meraih hasil tertinggi dalam sejarah syarikat.


Tambahnya, kumpulan tersebut berpotensi mengatasi rekod pada FY22 dengan berjumlah RM143.3 juta, dan turut optimis mampu menutup tahun kewangan 2025 menerusi keputusan akhir yang lebih kukuh.


"Berdasarkan situasi positif ini, kami mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran tidak berubah 70 sen, didorong prospek pertumbuhan jangka sederhana," kata TA Securities dalam notanya.


Prestasi Coraza jelasnya, disokong oleh permintaan stabil dalam segmen fabrikasi logam kepingan yang menyumbang 89.3% pendapatan pada 3QFY25, dengan penggunaan kapasiti segmen itu kini 60%.


Firma tersebut berkata, mengikut pecahan industri pada 3QFY25, semikonduktor kekal penyumbang terbesar iaitu 81%, diikuti instrumentasi pula 13%, serta sains hayat dan peranti perubatan 6%.


Walaupun sumbangan aeroangkasa masih kecil, pengurusan tambah TA Securities, menjelaskan yang sektor itu semakin mendapat momentum, dan kini peringkat akhir kelayakan komponen untuk pelanggan.


"Kami difahamkan yang Coraza berpotensi untuk memperoleh satu atau dua lagi produk aeroangkasa, sebelum ia memasuki proses pengeluaran secara skala besar-besaran pada tahun depan," katanya.


Sementara itu jelas firma tersebut, loji baharu P3 di Nibong Tebal, Pulau Pinang sudah siap dan dijangka dapat diserahkan sepenuhnya kepada syarikat berkenaan menjelang akhir Disember 2025.


Dengan ruang pengeluaran tambahan seluas 7,710 meter persegi, Coraza kini berunding dengan dua pelanggan multinasional baharu dalam segmen semikonduktor untuk memanfaatkan kapasiti tersebut.


TA Securities turut mengekalkan unjuran pendapatan FY25 hingga FY27 tanpa perubahan, manakala harga sasaran berkenaan disandarkan kepada unjuran penilaian 22 kali pendapatan pada tahun depan.


"Kami kekal positif terhadap prospek Coraza, dipacu pengembangan kapasiti serta pendedahan kepada sektor berimpak tinggi seperti semikonduktor," tambahnya. - DagangNews.com