KUALA LUMPUR 7 Mac — Coraza Integrated Technology Berhad berpotensi merekodkan kadar pertumbuhan tahun ke tahun (YoY) yang kukuh walaupun berdepan isu peruntukan inventori, kata RHB Research.
Syarikat penyedia rumusan kejuruteraan bersepadu yang berpangkalan di Pulau Pinang sebelum ini melaporkan perolehan suku terakhir 2024 (4QFY24) sebanyak RM35.7 juta yang melonjak kira-kira 126.6 peratus YoY.
Selain itu, keuntungan teras pada tempoh tersebut direkodkan pada RM3.4 juta berbanding kerugian RM3.2 juta pada 4QFY23 dengan pihak pengurusannya menyatakan margin keuntungan kasar (GPM) pada 4QFY24 adalah 23.7 peratus.
"Bagaimanapun ia sedikit terjejas disebabkan peruntukan untuk inventori yang bergerak perlahan dan jika tidak termasuk faktor ini, margin untung kasar boleh mencecah sekitar 25 peratus," katanya dalam satu nota penyelidikan.
RHB Research mengekalkan saranan "beli" dengan harga sasaran (TP) 67 sen sesaham iaitu peningkatan 27 peratus selaras potensi pelan pengembangan syarikat.
Firma penyelidikan itu berkata, Coraza yakin catat pemulihan dalam permintaan produk semikonduktor global susulan ramalan agensi Gartner yang mengunjurkan pendapatan sektor itu di seluruh dunia bakal tumbuh 14 peratus tahun ini.
Katanya, mereka juga yakin mengenai prospek pertumbuhan syarikat dan kekal optimis terhadap pemulihan berterusan dalam permintaan semikonduktor.
"Perkembangan positif ini disebabkan lantunan semula pelanggan bagi peralatan ujian automatiknya, dan disokong oleh nisbah satu kali ganda buku kepada bil yang sihat dan disokong oleh pengembangan kapasiti berterusan," katanya.
Ia juga mengunjurkan pendapatan daripada kadar pertumbuhan tahunan kompaun (CAGR) pada FY24 sehingga FY27 yang teguh sebanyak 94 peratus yang turut dibantu sumbangan bermakna daripada pengenalan pelbagai produk baharu.
Dengan kilang kelima terbaharunya, yang mula beroperasi pada 4Q24 dan menambah ruang pengeluaran seluas 8,083 meter persegi, Coraza dijangka dapat meningkatkan keupayaannya untuk menambah nilai perkhidmatan kepada pelanggan.
Sementara itu, kemudahan ketiga terletak bersebelahan tapak sedia ada dan dijangka siap menjelang Julai 2025, akan menambah 7,710 meter persegi ruang pengeluaran bagi peralatan canggih dengan operasi bermula pada suku keempat 2025. - DagangNews.com








