Cloudpoint mampu untung bersih 19.5% hingga FY27 didorong tempahan projek RM110 juta - CIMB Securities | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Cloudpoint mampu untung bersih 19.5% hingga FY27 didorong tempahan projek RM110 juta - CIMB Securities

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 4 NovCloudpoint Technology Berhad dijangka mencatat pertumbuhan keuntungan bersih 19.5% bagi FY24 hingga FY27, didorong tempahan projek bernilai RM110 juta sehingga 2027.


Menurut CIMB Securities yang memulakan liputan ke atas syarikat berkenaan, berdasarkan potensi positif tersebut, ia meletakkan saranan sulungnya sebagai 'beli' dan harga sasaran RM1.20 sesaham.


Firma penyelidikan itu menekankan kekuatan syarikat dalam sektor perkhidmatan kewangan, dengan rangkaian rumusan teknologi maklumat (IT) yang luas dan rekod pelaksanaan kerja amat mantap.


"Saham Cloudpoint kini diniagakan pada nisbah harga kepada pendapatan (PE) 13.8 kali satu tahun hadapan, disokong kedudukan tunai bersih RM26.8 juta," kata firma itu dalam notanya hari ini.


Selain itu jelas CIMB Securities, ia mencatatkan pertumbuhan pendapatan berulang melalui UC Group yang dimilikinya 75% dan dijangka terus dipacu perbelanjaan IT berterusan dalam sektor kewangan.


Keadaan ini tambahnya, termasuk rangkaian dan keselamatan siber, apabila bank-bank tempatan perlu meningkatkan penggunaan sistem berasaskan kecerdasan buatan (AI) dan rumusan digital tersendiri.


Segmen perkhidmatan profesional IT bermargin tinggi Cloudpoint, yang menyumbang 42.6% keuntungan kasar separuh pertama FY25, dijangka menjana pendapatan berulang di samping banyak projek besar.


"Kumpulan ini menonjol sebagai penyedia IT sehenti, meliputi rangkaian dan pusat data, keselamatan siber, perkhidmatan IT profesional, serta aplikasi awan dan perisian," kata CIMB Securities lagi.


Perkembangan itu jelasnya, disokong rakan strategik global seperti Cisco, AWS, Microsoft Azure, dan ServiceNow, manakala sektor kewangan kekal sumber hasil utama menyumbang lebih 90% pada FY24.


Ia berpendapat, dengan reputasi penyampaian kukuh, Cloudpoint dijangka berada kedudukan terbaik memperluas pasaran dan memperoleh lebih banyak kontrak daripada pelanggan institusi kewangan.


Syarikat itu yang mula disenaraikan di Pasaran ACE pada 29 Mei 2023, mencatat kadar pertumbuhan tahunan terkumpul 25% dalam keuntungan selepas cukai dari tahun kewangan 2020 hingga 2024.


"Pemindahan saham kumpulan perkhidmatan teknologi ini ke Pasaran Utama Bursa Malaysia pada 13 Oktober 2025 turut meyakinkan pelabur mengenai prospek jangka panjang," katanya. - DagangNews.com