Cloudpoint diramal catat hasil tinggi pada FY25 dipacu segmen perkhidmatan IT - RHB Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Cloudpoint diramal catat hasil tinggi pada FY25 dipacu segmen perkhidmatan IT - RHB Research

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 21 Julai — Hasil segmen perkhidmatan teknologi maklumat (IT) profesional dengan margin tinggi diramal menyokong Cloudpoint Technology Berhad pada FY25, menurut RHB Research.

 

Firma penyelidikan itu berkata, ia akan menyaksikan kumpulan tersebut mencatatkan pendapatan secara berulang lebih tinggi dengan momentum kukuh meliputi 10 peratus daripada nilai projek diuruskan.

 

Tambah firma itu, walaupun segmen berkenaan perlu diperbaharui setiap tahun, ia merekodkan trend peningkatan hasil yang agak konsisten bermula RM17.7 juta pada 2022 kepada RM28.9 juta pada 2024.

 

"Pada suku pertama, Cloudpoint sudah pun meraih RM9.7 juta dalam kadar pertumbuhan tahunan kompaun (CAGR) dan ia mampu melepasi RM30 juta menjelang akhir 2025," kata RHB Research dalam notanya.

 

Ia menjangka kumpulan rumusan IT itu boleh memperoleh margin keuntungan kasar (GPM) melebihi 55 peratus dan membolehkan segmen perkhidmatan tersebut membentuk 50 peratus daripada jumlah untung.

 

Untuk tahun kewangan 2025 tambah firma tersebut, kumpulan itu telah memperoleh buku tempahan yang berjumlah RM110 juta dengan sebanyak RM78 juta daripadanya dijangka diperakui hujung tahun ini.

 

Pada masa sama kata RHB Research, Cloudpoint berusaha meneroka tiga peluang peningkatan teknologi berskala besar dengan pelanggan industri perkhidmatan kewangan (FSI) dan segmen keselamatan siber.

 

"Kumpulan ini telah mempercepatkan pelaburan dalam infrastruktur kecerdasan buatan (AI) seperti pelayan dan penyetoran berprestasi tinggi sepanjang enam bulan terakhir tahun ini," katanya.

 

Langkah aktif secara strategik itu tambahnya, meletakkan kumpulan berkenaan untuk menyokong para pelanggan mereka beralih daripada sistem warisan kepada susunan teknologi moden yang sedia AI.

 

RHB Research turut menggemari Cloudpoint kerana disokong oleh profil kukuh pelanggannya, rangkaian rumusan serba luas dan perkongsian vendor serta rekod baik prestasi kewangannya secara konsisten.

 

Berdasarkan perkembangan positif itu, firma berkenaan mengekalkan saranan 'beli' dengan ramalan harga sasaran yang tidak berubah kepada RM1.13 sesaham. - DagangNews.com