Classita lantik bekas Ketua Polis Negara, Razarudin Husain sebagai Pengerusi Bukan Eksekutif | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Classita lantik bekas Ketua Polis Negara, Razarudin Husain sebagai Pengerusi Bukan Eksekutif

BERNAMA
Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 11 Ogos — Classita Holdings Berhad melantik bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, sebagai Pengerusi Bukan Eksekutifnya, yang berkuat kuasa dengan serta-merta.

 

Syarikat tersebut berkata, pelantikan beliau itu turut menandakan satu langkah penting dalam komitmen terhadap pembangunan sejajar dengan kepentingan awam dan tadbir urus yang lebih kukuh.

 

Peralihan kepimpinan ini katanya, bertepatan dengan kemunculan NexG Berhad sebagai pemegang saham besar Classita, berikutan pengambilalihan 32.61 peratus ekuiti dalam syarikat itu baru-baru ini.

 

Classita juga mencadangkan pertukaran nama kepada NexG Bina Bhd, tertakluk kelulusan pemegang saham, mencerminkan peranannya berkembang sebagai platform pembinaan dan pembangunan negara.

 

Dengan pengalaman berkhidmat beberapa dekad dalam Polis Diraja Malaysia, Razarudin dijangka membawa pemahaman secara langsung mengenai cabaran dialami penjawat awam khususnya isu perumahan.

 

"Sejajar itu, Classita berhasrat mencadangkan pembinaan perumahan khusus kepada Koperasi Polis Diraja Malaysia di tanah miliknya di Hulu Klang, Selangor," kata kumpulan tersebut dalam satu kenyataan.

 

Langkah berkenaan tambahnya, dijangka menyokong kebajikan dan keperluan perumahan anggota polis serta keluarga mereka selari peralihan syarikat ke arah pembangunan sosial bertanggungjawab.

 

Justeru katanya, sebagai sebahagian daripada penstrukturan semula dalaman Classita, Ng Keok Chai yang sebelum ini merupakan Pengerusi Eksekutif, dilantik semula sebagai Pengarah Eksekutif.

 

Kumpulan tersebut berkata, beliau akan terus memainkan peranan yang aktif dalam memacu pelaksanaan pelbagai projek dan pembangunan perniagaan di bawah hala tuju baharu syarikat. - DagangNews.com