CLAB Perkukuh Pengurusan Pekerja Binaan Asing | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

CLAB Perkukuh Pengurusan Pekerja Binaan Asing

SEKUMPULAN pekerja asing bergambar ceria di pekarangan Akademi Binaan Malaysia (ABM) selepas mereka menamatkan latihan kemahiran yang ditetapkan. - Foto ihsan CLAB
Oleh Amree Ahmad

PERANAN Construction Labour Exchange Centre Berhad (CLAB), sebuah agensi di bawah Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB), kini dipergiatkan sebagai agensi selia utama menguruskan pekerja binaan asing di negara ini.


Menurut Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Abdul Rafik Abdul Rajis ketika ditemui DagangNews.Com, CLAB ditubuhkan pada tahun 2003 dan diperbadankan pada Januari 2004, tidak berfungsi sebagai bursa tetapi sebagai Pusat Pertukaran Pekerja.


Jelas beliau, peranan utama CLAB adalah untuk menguruskan keseluruhan kitaran hidup pekerja asing dalam sektor pembinaan, bermula dari ketibaan mereka di Malaysia sehingga proses mereka pulang ke negara asal.

 

 

 


 

 

 

 

Model Pusat Pertukaran Pekerja: Mengelakkan Isu lambakan Pekerja Asing 

 

Sektor pembinaan mempunyai ciri-ciri yang berbeza berbanding sektor perkilangan atau perladangan. Projek pembinaan kelazimannya bersifat jangka pendek, adakalanya tidak mencapai tempoh dua tahun, dan projek akan berpindah-pindah.


“Matlamat utama penubuhan CLAB adalah untuk mengelakkan berlaku isu pekerja asing yang kemudian berubah tiba-tiba menjadi pula pendatang asing tanpa izin (PATI) selepas sesebuah projek selesai,” jelasnya. 


Selaras imej sebagai ‘Pusat Pertukaran Pekerja’, CLAB melaksanakan konsep kitar semula tenaga kerja. Apabila satu projek tamat, pekerja itu dipindahkan kepada kontraktor lain yang memerlukan, atau dipulangkan, tanpa membiarkan mereka menetap di Malaysia secara haram.


Sejak 2004, CLAB menguruskan hampir 230,000 orang pekerja. Namun, hanya 70,000 pekerja sahaja yang dibawa masuk sebagai pekerja baharu, membuktikan kejayaan model kitar semula ini mengurangkan keperluan pengambilan pekerja asing secara besar-besaran.


Di bawah peraturan kerajaan, kontraktor yang ingin mengambil kurang daripada 100 pekerja asing diwajibkan untuk melalui CLAB. Bagi kontraktor yang mengambil lebih 100 pekerja, mereka diberi pilihan sama ada melalui CLAB atau menguruskan sendiri. 


“CLAB sebenarnya ditubuhkan untuk membantu kontraktor kecil yang perlu mengambil pekerja kurang daripada 100 orang tanpa melalui khidmat ejen atau orang tengah yang biasanya mengenakan bayaran mahal dan dibawa masuk secara haram,” kata Abdul Rafik.


Peranan CLAB adalah menguruskan kemasukan pekerja binaan asing di bawah termasuk Akta CIDB 520, Akta Standard Minimum Perumahan Pekerja 1990, Akta PERKESO, Akta Imigresen, dan Akta Kerja 1955, memastikan pengurusan buruh yang sistematik.
 

CLAB
ABDUL RAFIK ABDUL RAJIS


Mandat Baharu CLAB: Akreditasi dan Pembersihan Data


CLAB kini turut memikul mandat baharu daripada kerajaan untuk memperkasakan industri pembinaan dengan memastikan kesemua 600,000 pekerja asing dalam sektor tersebut diakreditasi.


Langkah tegas ini jelas beliau, adalah penting kerana hanya kira-kira 5% daripada pekerja asing yang berdaftar ketika ini mempunyai sijil kemahiran yang dikeluarkan oleh CIDB.


Tugas ini melibatkan usaha ‘pembersihan’ data untuk memastikan hanya pekerja luar yang memang berkemahiran sahaja poleh berada dalam industri pembinaan di Malaysia. 


“Jika bahan binaan adalah 'A' tetapi pekerja tidak pandai, projek akan rosak. Matlamat kami adalah mengurangkan kadar kecacatan bangunan dan kos yang ditanggung oleh kontraktor untuk baiki, sekali gus membantu mengurangkan isu projek sakit dan mempercepatkan sesuatu projek itu siap,” kata Abdul Rafik.
 

CLAB
SEMUA pekerja warga asing yang berada di Malaysia diwajibkan berdaftar dan perlu mempunyai sijil kemahiran dikeluarkan hanya oleh CIDB sendiri. - Foto ihsan CLAB


CLAB mengenakan syarat saringan yang ketat untuk pekerja asing yang dibawa masuk:


1. Ujian Kemahiran: Pekerja tersebut perlu menjalani latihan awal dan saringan kemahiran di negara asal selama 10 hingga 12 hari, memastikan mereka mahir dalam kerja asas seperti plasterer atau bar bender.


2. Had Umur: Walaupun kerajaan membenarkan sehingga 45 tahun, CLAB menjadikan 40 tahun sebagai had umur maksima dengan usia paling minimum ditetapkan ialah 20 tahun kerana dianggap sebagai sudah matang.


3. Indeks Jisim Badan (BMI): Calon pekerja berkenaan juga dinilai berdasarkan BMI ketat yang digariskan CLAB dan tidak akan diluluskan jika gagal menepati piawaian.


4. Kewangan dan Projek Kukuh: Kontraktor yang memohon perlu mempunyai kewangan yang kukuh, projek yang sah, dan tempat tinggal yang disediakan.


Dengan pengumpulan data akreditasi ini, CLAB akan mempunyai statistik lengkap mengenai kemahiran pekerja, seperti 100,000 pekerja mahir mengikat batu, 200,000 plasterer, dan sebagainya, yang memantapkan industri.
 

CLAB
CANGGIH... Abdul Rafik Abdul Rajis menunjukkan contoh Kad Hijau versi baharu untuk pekerja asing yang ditambah baik dengan pelbagai fungsi termasuk pembayaran gaji. - DagangNews.Com / Amree Ahmad


Sistem Pengurusan dan Kebajikan Berpusat


Dalam usaha mengukuhkan kebajikan pekerja dan membanteras isu penipuan gaji, CLAB jelas Abdul Rafik, telah memperkenalkan sistem pembayaran gaji dan pemantauan yang canggih.


1. Kad Hijau (Green Card) Berfungsi e-Wallet: Setiap pekerja yang masuk ke tapak binaan wajib mempunyai Kad Hijau CIDB di bawah Akta 520. Ia berfungsi sebagai dompet elektronik yang mempunyai lambang Mastercard. Pembayaran gaji minimum RM1,700 akan dibuat oleh CLAB dan dimasukkan terus ke akaun bank yang dipautkan kepada kad ini.


Sistem ini memastikan pekerja menerima gaji minimum dan mengurangkan risiko mereka ditipu atau menipu majikan. Pekerja juga boleh mengirim wang terus ke negara asal melalui aplikasi mudah alih yang diintegrasi, dan turut berfungsi sebagai pengurup mata wang asing.


“Kad ini sudah diperkenalkan sepuluh tahun lalu dan kali ini kita melancarkan versi reka bentuk baharu yang dijadual untuk dilancarkan pada 4 Disember 2025 oleh YB Dato' Sri Alexander Nanta Linggi, Menteri Kerja Raya,” kata Abdul Rafik.


2. Pemantauan dan Banteras Buruh Haram: Sistem ini menyediakan pemantauan aliran wang masuk dan keluar, serta perbelanjaan pekerja, menerusi Kad Hijau yang bertindak sebagai Site Attendance System (SAS) dengan penyelia dapat mengetahui jumlah pekerja sah berada di tapak, secara tidak langsung membanteras kehadiran pekerja binaan haram.


3. Penginapan dan Kebajikan: CLAB memantau kebajikan, tempat tinggal, dan pembayaran gaji pekerja. Majikan hanya perlu menyediakan tempat tinggal, tetapi perlu disahkan oleh CLAB untuk memastikan ia kondusif dan selaras dengan Akta 446 demi mengelakkan isu rumah kongsi yang sempit tidak berperikemanusiaan mengikut standard global.
 

CLAB
CLAB melaksanakan proses akreditasi menjadi lebih mudah, cepat dan terurus serta memastikan tenaga kerja asing mempunyai sijil kompetensi yang diiktiraf. - Imej poster ihsan CLAB


Melindungi Hak Pekerja Tempatan


CLAB juga memainkan peranan penting dalam melindungi hak pekerja tempatan, terutama graduan TVET. Pekerja asing yang dibawa masuk adalah terhad kepada bidang kerja 3D (Difficult, Dirty, Danger) atau wet trades (kerja basah), seperti mengikat bata atau plasterer.


“Kami juga langsung tidak membenarkan pekerja asing untuk menjalankan sebarang kerja penyelenggaraan, elektrikal, atau penghawa dingin, yang memang sudah dikhaskan hanya kepada warga tempatan berkemahiran.


“Ini adalah selaras dengan usaha untuk mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing sambil memastikan pekerja tempatan yang mempunyai sijil TVET mendapat pekerjaan yang bersesuaian,” tegas Abdul Rafik.

 

Bangladesh
KERJASAMA... Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima kunjungan Ketua Penasihat (Perdana Menteri de facto Kerajaan Sementara) Bangladesh, Dr Mohammad Yunus pada 13 Ogos 2025. - Foto ihsan Pejabat Perdana Menteri


Pengurusan Khas Pekerja Bangladesh (G2G)


Walaupun kerajaan membekukan pengambilan pekerja asing sejak 31 Mac 2023, CLAB baru-baru ini telah diberi mandat baharu untuk menguruskan kemasukan kira-kira 8,000 pekerja Bangladesh. 


Menurut beliau, kelompok berkenaan sebenarnya terperangkap di negara asal selepas pintu masuk ke Malaysia ditutup untuk penerimaan pekerja luar, walaupun ada yang telah membeli tiket penerbangan.


Justeru katanya, langkah pembukaan semula namun secara terhad itu merupakan usaha Kerajaan ke Kerajaan (G2G) hasil perbincangan antara Perdana Menteri dan pihak Bangladesh, dengan CLAB bertanggungjawab menyaring pekerja ini secara agresif.


“Itupun daripada 3,000 pekerja yang telah ditemu duga kami, kira-kira 1,000 terpaksa ditolak kerana gagal menepati piawaian seperti had umur yang melebihi 40 tahun, BMI yang melebihi atau gagal dalam ujian kemahiran asas,” ujar Abdul Rafik.


Kemasukan pekerja ini dilakukan secara berperingkat dengan fasa pertama bermula 27 November 2025, manakala dua penerbangan seminggu diatur, membawa masuk antara 120 hingga 150 orang setiap penerbangan bagi memastikan pengurusan yang cekap.

 

 

 

 

 

 


Secara keseluruhannya, peranan CLAB dalam sektor pembinaan adalah penting untuk mewujudkan satu ekosistem pengurusan pekerja binaan asing yang sistematik dan berkualiti, di samping memastikan perlindungan kepada hak pekerja tempatan.


Usaha CLAB kini sedang dipertimbangkan untuk diperluaskan sehingga Jun 2026 bagi menyelesaikan isu 8,000 pekerja Bangladesh ini, sementara kerajaan masih membekukan pengambilan pekerja asing baharu. - DagangNews.com