CJ Century kembali catat untung bersih RM10.7 juta bagi FY25, dipacu pengoptimuman kos | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

CJ Century kembali catat untung bersih RM10.7 juta bagi FY25, dipacu pengoptimuman kos

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 26 MacCJ Century Logistics Holdings Berhad mencatatkan kembali keuntungan bersih dengan RM10.73 juta direkodkan bagi tahun kewangan yang berakhir 31 Disember 2025 (FY25). 


Pencapaian ini didorong oleh keberkesanan inisiatif pengoptimuman kos, disiplin kewangan, serta peralihan strategik yang mengutamakan integriti margin berbanding pengembangan jumlah volum.


Keuntungan sebelum cukai (PBT) kumpulan tersebut merekodkan RM15.3 juta, melonjak daripada kerugian sebelum cukai (LBT) RM4.9 juta yang pernah dicatatkan pada tahun kewangan sebelumnya.


"Pendapatan berjumlah RM584.0 juta, menyusut 15.5% berbanding RM690.8 juta pada FY24, disebabkan tumpuan kepada kontrak bermargin tinggi dan pemilihan perniagaan lebih selektif," kata CJ Century.


Segmen perkhidmatan logistik menyeluruh menjadi pemacu utama pemulihan dengan peningkatan PBT sebanyak RM23.9 juta hasil daripada pengurusan kos yang berdisiplin dan mitigasi isu operasi lama.


Tambah kumpulan itu dalam maklumannya kepada Bursa Malaysia hari ini, segmen perkhidmatan logistik perolehan pula menyumbang pendapatan RM264.1 juta, disokong oleh volum eksport yang lebih kukuh.

 

CJ Century_DagangNews


Sementara itu, Pengerusi CJ Century, Datuk Lee Say Tshin berkata, landskap logistik global dan domestik kekal kompleks dengan ketidaktentuan geopolitik semasa serta peningkatan kos operasi.


"Bagaimanapun kumpulan ini menunjukkan daya tahan melalui kawalan operasi yang lebih mantap, dengan model penetapan harga berasaskan nilai, membolehkan keuntungan dipulihkan," jelas beliau.


Meninjau ke hadapan bagi FY26 pula, kumpulan itu kekal optimis secara berhati-hati dan akan terus menumpukan kepada kecemerlangan operasi serta pengurusan modal yang dijangka lebih berdisiplin.


CJ Century katanya, juga melihat peluang dalam aliran kepelbagaian rantaian bekalan global, termasuk strategi 'China Plus One' yang akan memberi manfaat kepada ekosistem logistik Malaysia.


Setakat 31 Disember 2025 jelasnya, kumpulan tersebut berada dalam kedudukan tunai bersih dengan ekuiti pemegang saham meningkat kepada sebanyak RM454.1 juta. - DagangNews.com