KUALA LUMPUR 13 Nov – Citaglobal Berhad menerima projek terbaharu daripada Jabatan Bekalan Air Malaysia (JBA) bagi Projek Kolam Takungan Dwifungsi Pakej A di Selangor yang bernilai RM628 juta.
Kumpulan itu berkata, ia diperoleh anak syarikatnya, Citaglobal Land Sdn Bhd (CLSB) dengan fasiliti tersebut akan berperanan sebagai tebatan banjir dan sumber bekalan air mentah dari Sungai Klang-Sungai Rasau.
Kontrak reka dan bina itu merangkumi antaranya pembinaan empangan rendah dan stesen pam di Sungai Klang, serta pemasangan paip penghantaran air mentah terus dari Sungai Klang ke Sungai Air Hitam.
"Ia juga meliputi naik taraf serta integrasi 10 kolam sedia ada menjadi sistem takungan dan mendapan, selain kerja mekanikal, elektrikal, instrumen dan kawalan," katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia.
Tempoh pelaksanaan projek ditetapkan 48 bulan daripada tarikh serahan tapak, dengan Fasa 1 selama 12 bulan yang memberi tumpuan kepada pembinaan sistem kolam dwifungsi dan kolam mendapan utama.
Citaglobal menjelaskan bahawa projek berimpak tinggi ini akan meningkatkan nilai tempahan kerja kumpulan berkenaan kepada kira-kira RM1.7 bilion, berbanding RM1.1 bilion setakat Jun 2025.
Projek tersebut juga jelas syarikat tersebut dijangka mampu menyumbang secara positif kepada pendapatan, keuntungan sesaham dan aset bersih kumpulan itu sepanjang tempoh pelaksanaan kontrak.
"Tiada kesan terhadap modal terbitan atau struktur pemegang saham utama, dan tiada pengarah mahupun pemegang saham besar syarikat yang memiliki sebarang kepentingan dalam kontrak berkenaan," katanya.
Selain itu, Citaglobal menegaskan projek ini sebahagian daripada aktiviti perniagaan biasa dan tidak menjangka sebarang risiko luar biasa kecuali risiko lazim yang akan diurus secara berhemat.
Kata kumpulan tersebut, projek kolam takungan dwifungsi tersebut diklasifikasikan JBA sebagai projek tebatan banjir yang berkeutamaan tinggi di bawah senarai Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).
Fasiliti itu juga bertujuan meningkatkan tahap keselamatan bekalan air Selangor serta mengurangkan kawasan mudah banjir, selain menyumbang ke arah kelestarian alam sekitar. - DagangNews.com








