Citaglobal peroleh tender RM156 juta daripada JKR bina perumahan TLDM di Sandakan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Citaglobal peroleh tender RM156 juta daripada JKR bina perumahan TLDM di Sandakan

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 31 MacCitaglobal Berhad memperoleh kontrak bernilai RM156 juta daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) bagi projek pembinaan perumahan tentera pangkalan MAWILLA 2 di Sandakan, Sabah.


Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, ia berkata anak syarikatnya, Citaglobal Land Sdn Bhd meraih Surat Setuju Terima (SST) yang bertarikh 30 Mac 2026 bagi projek reka dan bina tersebut.


Ia jelasnya, merangkumi unit kediaman kekal keluarga anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) serta kemudahan sokongan termasuk surau, pusat jagaan kanak-kanak, serta kerja mekanikal dan elektrikal.

 

 

 

 

 

 


"Projek berkenaan yang meliputi kerja-kerja infrastruktur tersebut akan dilaksanakan dalam tempoh 40 bulan dari tarikh milikan tapak," kata Citaglobal


Kontrak MAWILLA 2 merupakan sebahagian daripada pelaburan kerajaan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) bagi memperkukuh infrastruktur kebajikan anggota pasukan pertahanan.


Jelas kumpulan berkenaan, projek tersebut khususnya untuk penempatan TLDM di Sandakan yang menyokong operasi maritim di perairan timur Sabah.


Susulan perolehan kontrak tersebut, buku tempahan terkumpul Citaglobal diselaraskan kepada kira-kira RM1.44 bilion setakat 31 Mac 2026, berbanding RM1.80 bilion pada akhir Disember 2025.

 

 

 

 

 

 

 

"Kumpulan menjangkakan kontrak ini tidak memberi kesan kepada modal saham atau pegangan pemegang saham utama, namun akan meningkatkan pendapatan, keuntungan sesaham serta aset bersih," katanya.


Syarikat itu turut memaklumkan tiada risiko luar biasa dijangka selain risiko operasi biasa dalam industri pembinaan, dan langkah mitigasi akan diambil bagi memastikan kelancaran projek.


Selain itu, Citaglobal mengesahkan tiada pengarah atau pemegang saham utama mempunyai kepentingan dalam kontrak baharu tersebut. - DagangNews.com