KUALA LUMPUR 21 April — CIMB Group Holdings Berhad bersedia menawarkan komitmen pembiayaan RM10 bilion untuk mempercepatkan integrasi ekonomi serta membuka peluang perniagaan rentas sempadan dalam Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).
Bank kedua terbesar di Malaysia dari segi aset itu turut memperkenalkan Pasport Kewangan ASEAN CIMB sebagai rumusan perbankan yang direka untuk pengalaman lancar dan sokongan menyeluruh serta memacu kepada pertumbuhan perniagaan.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan CIMB, Novan Amirudin berkata, pihaknya telah menggerakkan pasukan pakar seramai 30 ahli berpangkalan di Malaysia dan Singapura untuk membimbing komuniti perniagaan berkembang di JS-SEZ.
Kumpulan itu kini mengendalikan 28 cawangan di Johor, dengan enam ditetapkan untuk memenuhi keperluan berkaitan JS-SEZ, dan sedang meneroka pengembangan di sekitar pusat pemeriksaan Rapid Transit System (RTS) Link di Johor dan Singapura.
“JS-SEZ mewakili langkah transformasi dalam kerjasama ekonomi serantau, kesalinghubungan dan kunci laluan baharu pertumbuhan mampan Malaysia dan Singapura, sambil mengukuhkan daya tahan rantau ini terhadap ketidaktentuan global,” katanya dalam satu kenyataan.
Inisiatif baharu itu katanya, memupuk integrasi serantau yang lebih dalam dan mewujudkan ekosistem lancar untuk perniagaan, serta memudahkan pergerakan barangan, mengoptimumkan kos dan meningkatkan kecekapan pengeluaran untuk perniagaan.
Novan berkata, CIMB komited memajukan pelanggan dan masyarakat dengan memanfaatkan potensi besar JS-SEZ melalui rumusan perbankan rentas sempadan secara bersepadu, nasihat strategik dan ekosistem perkongsian dengan lebih meluas.
"Kami berharap dapat bekerjasama dengan pelbagai pihak berkepentingan dan pelanggan untuk menyampaikan hasil yang bermakna sambil memacu aspirasi ekonomi serta alam sekitar jangka panjang kepada seluruh pasaran ASEAN," katanya.
Sebagai melengkapkan inisiatif itu, CIMB juga katanya, menganjurkan siri seminar bersasar mengenai prospek ekonomi dan industri; rangka kerja undang-undang, cukai dan kawal selia, proses persediaan perniagaan serta pembiayaan.
Bank tersebut turut menyediakan perkhidmatan nilai tambah seperti nasihat kemampanan dan rumusan bersepadu, yang bertujuan membantu perniagaan memperkemaskn operasi sambil memenuhi keperluan persekitaran, sosial dan tadbir urus (ESG).
"Segala inisiatif ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan CIMB sebagai rakan kongsi pertumbuhan serantau melalui pengukuhan advokasi untuk pertumbuhan perniagaan yang mampu merentas sempadan di JS-SEZ," jelas Novan. - DagangNews.com








