KUALA LUMPUR 29 Dis — CIMB Securities menjangkakan jumlah jualan industri kenderaan (TIV) susut 2% tahun ke tahun (YoY) kepada kira-kira 774,000 unit pada 2026, berbanding 790,000 unit pada 2025.
Firma penyelidikan tersebut berkata, kemerosotan kecil berkenaan susulan faktor sentimen pengguna di Malaysia yang dinilai lebih lemah dan tekanan inflasi secara berterusan sepanjang tahun depan.
Sektor automotif jelasnya, turut dipengaruhi oleh kenaikan harga purata kenderaan elektrik (EV) import sepenuhnya, susulan berakhir insentif pengecualian cukai kerajaan bermula pada 1 Januari 2026.
"Faktor lain yang berpotensi meningkatkan duti eksais termasuk persaingan sengit dari pengeluar China serta kemungkinan semakan nilai pasaran terbuka (OMV)," kata CIMB Securities dalam notanya.
Bagaimanapun, ia menjangkakan permintaan terhadap jenama tempatan seperti Proton dan Perodua kekal stabil, disokong pembeli kali pertama, segmen pasaran massa, serta inisiatif subsidi petrol RON95.
Jenama China tambah firma berkenaan, dijangka terus menambah bahagian pasarannya di Malaysia, terutama dengan strategi harga agresif yang menjejaskan banyak jenama terkenal dari Jepun sendiri.
Sementara itu jelas CIMB Securities, kelewatan enam bulan dalam semakan OMV memberikan kelebihan jangka pendek kepada pengeluar kenderaan pemasangan tempatan, termasuk jenama Jepun dan Eropah.
"Kami juga menjangkakan segmen nasional akan memimpin bahagian jualan kenderaan elektrik bateri penuh (BEV) pada 2026, susulan pelancaran Proton e.MAS 5 dan Perodua QV-E baru-baru ini," katanya.
Jelas firma penyelidikan itu, BEV sebelum ini menyumbang kira-kira 4.1% daripada jualan kenderaan baharu bagi tempoh sembilan bulan pertama 2025, meningkat daripada hanya sebanyak 2.4% pada 2024.
Justeru, CIMB Securities mengekalkan penarafan 'neutral' ke atas sektor automotif, memandangkan pertumbuhan dijangka sederhana dalam suasana persaingan yang semakin sengit. - DagangNews.com








