KUALA LUMPUR 13 Nov – CIMB Securities menaikkan unjuran pendapatan Hap Seng Plantations Holdings Berhad susulan semakan semula harga minyak sawit mentah (MSM) yang kukuh dalam jangka panjang.
Firma penyelidikan itu meramalkan keuntungan kumpulan tersebut meningkat antara 6 hingga 16 peratus bagi tahun kewangan 2025 (FY25) hingga FY27, berasaskan kepada harga purata yang disemak naik.
Tambahnya lagi, MSM dalam tempoh akan datang mampu mencatatkan harga yang mencecah RM4,330 satu tan bagi FY25, sebelum kemungkinan besar susut sedikit kepada kira-kira RM4,200 satu tan bagi FY26.
“Kami juga menurunkan andaian pengeluaran buah tandan segar (BTS) bagi FY25 sebanyak 4 peratus untuk mencerminkan prestasi hasil yang lebih lemah,” jelas CIMB Securities dalam nota kajiannya.
Berikutan semakan harga MSM tersebut, harga sasaran ke atas Hap Seng jelas firma berkenaan, dinaikkan kepada RM2.45 berbanding RM2.23 sesaham sebelum ini, dengan saranan 'beli' dikekalkan
Ia turut meningkatkan anggaran nilai pengeluaran setiap hektar ladang syarikat berkenaan kepada RM40,000 daripada RM35,000, sejajar dengan prospek harga MSM yang dilihat sebagai lebih positif.
Selain potensi penilaian ladang yang menarik, CIMB Securities kekal positif terhadap kumpulan perladangan ini kerana lembaran imbangan adalah kukuh serta hasil pengagihan dividen yang menawan.
"Justeru, kami menjangka keputusan suku ketiga 2025 yang diumumkan Hap Seng pada 19 November 2025 akan menunjukkan berlaku peningkatan keuntungan bersih secara tempoh sukuan," tambahnya.
Keadaan tersebut jelas firma berkenaan, disokong faktor kenaikan kira-kira 4% dalam pengeluaran BTS kepada 150,394 tan serta harga jualan purata produk sawit yang lebih tinggi di pasaran semasa.
CIMB Securities mengunjurkan untung bersih teras 3Q25 sekitar RM38 juta hingga RM41 juta, dipacu kenaikan output BTS dan harga MSM kukuh, selain jangkaan kerugian nilai saksama yang lebih kecil.
Kata firma penyelidikan itu, peningkatan sebanyak 15.6 peratus pengeluaran BTS secara bulanan pada Oktober 2025 turut memberi sokongan kepada prestasi syarikat yang lebih baik dalam suku semasa.
Dengan prospek harga komoditi kukuh, pengurusan kos stabil serta profil dividen menarik, ia menegaskan Hap Seng kekal sebagai salah satu pilihan dalam sektor perladangan. - DagangNews.com








