KUALA LUMPUR 20 Ogos – CIMB Securities menaikkan unjuran pertumbuhan pendapatan dan sasaran akhir tahun 2025 bagi indeks FBM KLCI kepada 1,567 mata berbanding sebelum ini sebanyak 1,560 mata.
Firma penyelidikan tersebut berkata, ia susulan prestasi lebih baik daripada jangkaan oleh beberapa syarikat komponen indeks dalam musim keputusan suku kedua (2Q25) yang hambar secara keseluruhan.
Tambahnya, musim keputusan suku kedua kekal suram, dengan hampir separuh daripada syarikat dalam liputan mereka mencatatkan keputusan di bawah jangkaan, disebabkan tekanan kos dan permintaan lemah.
"Sebanyak 28 syarikat atau 32% daripada keseluruhan liputan, yang telah melaporkan keputusan antara 1 Jun hingga 18 Ogos 20025, hanya 14% melepasi jangkaan," kata CIMB Securities dalam nota kajiannya.
Sementara 46% gagal memenuhi unjuran, menghasilkan nisbah syarikat yang melebihi jangkaan berbanding mengecewakan sebanyak 0.30, iaitu sedikit meningkat berbanding 0.24 pada tempoh suku pertama 2025.
Bagaimanapun katanya, prestasi syarikat komponen KLCI menunjukkan daya tahan, apabila daripada lapan syarikat yang melaporkan keputusan, hanya dua melepasi jangkaan, manakala dua lagi mengecewakan.
Ia menghasilkan nisbah 1.0, jauh lebih kukuh berbanding pasaran keseluruhan dengan antara penyumbang utama ialah SD Guthrie Bhd yang mencatatkan prestasi positif berikutan kenaikan harga isirung sawit.
"Turut dikenal pasti ialah AMMB Holdings Bhd yang memperlihatkan keputusan kewangan pada tempoh 2Q25 dengan lebih kukuh susulan kos kredit kumpulan itu didapati semakin rendah," kata firma berkenaan..
Kenaikan unjuran hasil SD Guthrie dan AMMB berjaya mengimbangi kelemahan syarikat lain dalam indeks, seterusnya mendorong pertumbuhan pendapatam KLCI untuk tahun kewangan 2025 kepada 4.4% daripada 3.4%.
Sebaliknya kata CIMB Securities, beberapa syarikat lain dalam indeks menyumbang kepada prestasi lemah antaranya Petronas Chemicals Bhd mencatat kerugian akibat kadar penggunaan loji yang lemah.
CelcomDigi Bhd pula tambah firma berkenaan, didapati gagal dalam memenuhi jangkaan analisis akibat kos operasi dan cukai yang didapati lebih tinggi, serta mendorong semakan turun unjuran pendapatan.
"Di luar indeks, antara syarikat yang mengatasi jangkaan termasuk Vitrox Corp Bhd, manakala Yinson Holdings Bhd kerana ia menerima manfaat daripada pemulangan denda lewat siap," katanya.
Namun, sektor teknologi terus mencatatkan kelemahan dengan CTOS Digital Bhd, Unisem (M) Bhd, dan VS Industry Bhd kesemuanya gagal memenuhi jangkaan, apabila keuntungan bersih merosot tahun ke tahun.
Sektor kewangan turut terjejas dengan RCE Capital Bhd mencatat penyusutan untung akibat peruntukan rosot nilai lebih tinggi manakala LPI Capital Bhd kerana lonjakan tuntutan insurans kes terpencil.
Dalam sektor pengguna, Fraser & Neave Holdings Bhd dan MyNews Holdings Bhd mencatatkan keputusan lemah akibat kerugian daripada usaha niaga baharu dan kos operasi yang tinggi.
"Bermaz Auto Bhd pula mencatatkan prestasi mengecewakan disebabkan jualan pelbagai kenderaan yang lebih perlahan dan sumbangan lebih rendah daripada syarikat bersekutu," kata CIMB Securities.
Sementara itu, pengeluar sarung tangan seperti Hartalega Holdings Bhd dan Top Glove Corp Bhd terus berdepan tekanan margin akibat harga jualan purata (ASP) yang lemah serta kos input meningkat.
CIMB Securities menyimpulkan, walaupun latar belakang keseluruhan kekal mencabar, prestasi syarikat terpilih dalam KLCI memberikan sedikit sinar dan menyokong kenaikan unjuran sepanjang tahun ini.
Bagaimanapun, firma itu kekal berhati-hati dengan tekanan kos dan permintaan perlahan, serta mencadangkan pendekatan pelaburan secara selektif berdasarkan asas pendapatan kukuh. - DagangNews.com








