KUALA LUMPUR 8 Feb - CIMB Group Holdings Berhad (CIMB) memperuntukkan RM3.6 juta melalui inisiatif Satu Pemimpin Satu Kampung (Santuni Madani) melibatkan empat projek perumahan rakyat (PPR) di sekitar Lembah Klang.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Novan Amirudin berkata, menerusi program komuniti selama dua tahun itu, bank tersebut berharap ia mampu memacu impak jangka panjang dan positif terhadap kira-kira 9,000 penghuni kawasan berkenaan.
"PPR ini akan menjadi kampung angkat CIMB dengan penduduknya bakal meraih banyak manfaat daripada pelbagai program pembangunan yang dibahagikan kepada sektor pendidikan dan ekonomi," katanya kepada pemberita.
Terdahulu, beliau menyaksikan majlis pelancaran program tersebut oleh Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan yang juga disaksikan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Dr. Maimunah Mohd Sharif, di sini hari ini.
Turut hadir ialah Pengerusi Kumpulan CIMB, Tan Sri Mohd Nasir Ahmad serta empat wakil PPR yang dipilih iaitu dari Bukit Jalil, Lembah Subang, Seri Selangor dan Seri Alam dengan pelbagai aktiviti menarik juga berlangsung.
Mengulas lanjut, Novan berkata, melalui sektor pendidikan, CIMB akan mengadakan program 'Closing the Gap' selama tiga tahun untuk membimbing seramai 70 pelajar yang berpotensi tinggi bagi melanjutkan pengajian ke universiti.
"Kami juga menawarkan tuisyen percuma selama enam bulan melibatkan 400 murid sekolah rendah dan 160 pelajar menengah atas dengan sasaran peningkatan purata markah ujian mereka adalah lebih 20 peratus," tambah beliau.
Sektor ekonomi pula ujarnya, menyaksikan CIMB melaksanakan program peningkatan latihan kemahiran jahitan selama tempoh enam bulan untuk peserta menambah pendapatan sedia ada yang paling kurang sebanyak RM500 sebulan.
Bank itu juga akan memperkenalkan Program Micro Biz Ready untuk peniaga mikro, kecil dan sederhana selama enam bulan dalam usaha bagi membantu mereka dapat mencapai hasil jualan bersih minimum RM1,700 setiap bulan.
CIMB jelas Novan, turut mengadakan program keusahawanan selama sembilan bulan dan iTekad CIMB Islamic Rider Entrepreneur selama 14 bulan dalam misi menjana pendapatan peserta itu melebihi 20 sehingga 30 peratus.
"Selain itu, kami juga menyalurkan bantuan keperluan asas melalui inisiatif Bakul Makanan kepada 6,400 peserta dan pemberian barangan persekolahan untuk seramai 400 pelajar terpilih daripada empat PPR ini," katanya.
Kesemua program yang disusun itu tegas beliau, selaras dengan kempen 'Kita Bagi Jadi CIMB' yang ingin memupuk nilai positif dalam kalangan masyarakat setempat terutamanya golongan berpendapatan rendah. - DagangNews.com








