KUALA LUMPUR 16 April - CIMB Bank Berhad menjalin kerjasama strategik dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menerusi pemeteraian Memorandum Kerjasama (MoC) dengan komitmen RM5 juta bagi tempoh tiga tahun untuk memacu pertumbuhan ekonomi inklusif di ibu negara.
Inisiatif dikenali sebagai “Moving KL Forward – Kita Bagi Jadi bersama DBKL x CIMB” itu bertujuan memperkukuh kedudukan Kuala Lumpur sebagai hab serantau bagi perniagaan, pelaburan dan pelancongan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh berkata kerjasama tersebut mencerminkan sinergi antara sektor awam dan swasta dalam menjana impak ekonomi yang lebih inklusif dan mampan.
“Selain pembangunan fizikal, keutamaan kami adalah memastikan pertumbuhan yang inklusif dan berteraskan rakyat. Inisiatif ini akan membuka peluang kepada komuniti dan perniagaan tempatan serta memastikan manfaat pembangunan dapat dinikmati secara menyeluruh,” katanya.
MoC tersebut ditandatangani oleh Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri TPr Fadlun Mak Ujud dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan CIMB, Novan Amirudin, serta disaksikan oleh Hannah Yeoh dan Pengerusi CIMB Group, Datuk Syed Zaid Albar.
Menurut CIMB, kerjasama itu akan memberi tumpuan kepada dua teras utama, iaitu mempercepatkan pendigitalan dalam kalangan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) serta mengaktifkan ekonomi kreatif tempatan.
Bagi aspek pendigitalan, CIMB akan menawarkan insentif pulangan tunai dan rebat menerusi platform digitalnya, CIMB OCTO dan OCTO Biz, bagi meningkatkan kecekapan serta daya saing perniagaan kecil.
Sementara itu, pengaktifan ekonomi kreatif akan dilaksanakan melalui penganjuran acara kebudayaan, festival dan inisiatif seni awam bagi menjana peluang pendapatan serta mengukuhkan kedudukan Kuala Lumpur sebagai hab seni dan budaya di rantau ini.
Fadlun berkata kerjasama itu akan membuka ruang kepada bakat dan usahawan tempatan untuk berkembang, selain menyumbang kepada pembangunan bandar yang lebih inklusif.
“Usaha ini bukan sahaja meningkatkan daya tarikan pelancongan, malah memperkukuh kesejahteraan rakyat melalui peluang ekonomi yang mampan,” katanya.
Sebagai sebahagian daripada inisiatif tersebut, CIMB akan menyokong beberapa acara utama DBKL termasuk Festival Orkestra Kuala Lumpur, Konsert Ambang Merdeka, Rockestra Legenda dan KUL Design Festival, yang dijangka menarik lebih 100,000 pengunjung setiap tahun.
Program itu akan dimulakan dengan penganjuran konsert “Moving KL Forward – Kita Bagi Jadi bersama DBKL x CIMB” pada 16 dan 17 Mei di Panggung Anniversari, yang terbuka kepada orang ramai.
Selain itu, kerjasama tersebut turut melibatkan pengindahan bandar melalui pemasangan karya seni di lokasi tumpuan termasuk mural di sepanjang Sungai Gombak serta penggunaan aset digital DBKL bagi mempromosikan kreativiti bandar.
Dalam perkembangan berkaitan, CIMB memaklumkan kempen OCTO Fest sempena Tahun Baharu Cina dan Ramadan berjaya membantu 360 peniaga tempatan menjana jualan kira-kira RM17 juta.
Bank itu turut memperuntukkan RM3.6 juta bagi menyokong kira-kira 9,000 penduduk Projek Perumahan Rakyat (PPR) menerusi inisiatif Santuni MADANI, selain memperkasa komuniti melalui program iTEKAD dan CIMB Foundation.
Menurut CIMB, semua inisiatif tersebut mencerminkan peranannya dalam menyokong mobiliti ekonomi serta memperluas penyertaan rakyat dalam pertumbuhan ekonomi negara. - DagangNews.com








