CIDB lantik Ahmad Farrin sebagai Ketua Eksekutif baharu | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

CIDB lantik Ahmad Farrin sebagai Ketua Eksekutif baharu

Sr Ahmad Farrin
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 15 Jun – Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) melantik Sr Ahmad Farrin Mokhtar sebagai Ketua Eksekutif baharu berkuat kuasa 8 Jun 2026.

 

Pelantikan itu dibuat bagi menggantikan Zainora Zainal yang menamatkan perkhidmatan selepas bersara wajib pada 15 Januari 2026.

 

CIDB berkata Ahmad Farrin telah berkhidmat selama 25 tahun bersama agensi itu dalam pelbagai kapasiti pengurusan dan teknikal.

 

“Sepanjang perkhidmatan, beliau pernah memegang jawatan sebagai Pengurus Besar Kanan Sektor Pembangunan Kontraktor & Personel Binaan serta Sektor Dasar & Korporat.

 

“Beliau turut pernah berkhidmat sebagai Pengarah CIDB Negeri Johor dan Pengarah CIDB Negeri Terengganu, yang memperkukuhkan pengalaman pengurusan di peringkat negeri,” katanya dalam satu kenyataan.

 

Surat pelantikan disampaikan oleh Menteri Kerja Raya, Datuk Sri Alexander Nanta Linggi, di pejabat beliau di Kuala Lumpur.

 

Menurut CIDB, Ahmad Farrin mempunyai pengalaman luas merangkumi pembangunan dasar industri, pengurusan korporat, penguatkuasaan, pembangunan perniagaan, hubungan antarabangsa serta pembangunan kapasiti industri pembinaan.

 

Beliau juga terlibat dalam pembangunan Pelan Strategik CIDB 2021–2025 serta pelaksanaan Dasar Pembinaan Negara (DPN) 2030 di bawah Kementerian Kerja Raya.

 

CIDB menyifatkan pelantikan itu sebagai kesinambungan kepimpinan berpengalaman dalam organisasi berkenaan, selain menyokong usaha memperkukuh industri pembinaan negara. - DagangNews.com