Chuan Huat jual 64% ekuiti berjumlah RM26 juta dalam Pineapple Resources selepas rugi 7 tahun | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Chuan Huat jual 64% ekuiti berjumlah RM26 juta dalam Pineapple Resources selepas rugi 7 tahun

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 24 AprilChuan Huat Resources Berhad melupuskan 63.86% pegangan ekuiti dalam Pineapple Resources Berhad kepada dua individu pada pertimbangan tunai berjumlah RM26 juta.


Langkah strategik ini dibuat melalui anak syarikatnya, Chuan Huat Holdings Sdn Bhd, menerusi perjanjian jual beli saham (SSA) dimeterai dengan pembeli, Gan Kok Xan dan Yeoh Guan Fook.


Susulan daripada transaksi ini, pegangan Kok Xan dalam Pineapple Resources meningkat daripada sifar kepada 63.86% secara kolektif bersama Guan Fook selaku pihak yang bertindak bersama (PAC).


"Justeru, Kok Xan diwajibkan di bawah undang-undang pasaran modal untuk melancarkan tawaran am mandatori (MGO) bagi memperoleh habis semua baki pada harga tunai 84 sesaham," jelas Chuan Huat.


Bagaimanapun tambah kumpulan tersebut dalam makluman kepada Bursa Malaysia, pembeli berkenaan menyatakan hasrat untuk mengekalkan status penyenaraian Pineapple Resources di Pasaran ACE.


Keputusan keluar daripada perniagaan runcit teknologi maklumat (IT) serta makanan dan minuman (F&B) ini didorong oleh prestasi hambar syarikat berkenaan yang kerugian selama tujuh tahun.


Pelupusan ini juga jelas Chuan Huat membolehkan kumpulan berkenaan untuk membuang perniagaan yang rugi daripada akaun kumpulan itu, serta memberi tumpuan semula sumber kepada perniagaan teras.


"Ini termasuk perdagangan keluli, bahan binaan, pemprosesan keluli, dan pelaburan hartanah, serta.
mencairkan pelaburan dengan anggaran keuntungan bersih pelupusan sebanyak RM18 juta," katanya.


Pelupusan ini dijangka memberikan impak positif yang signifikan kepada penyata kewangan kumpulan, dan berdasarkan tahun kewangan berakhir 30 Jun 2025, ia kerugian sesaham (LPS) sebanyak 5.32 sen.


Sehubungan itu, langkah pelupusan Pineapple Resources dijangka mencatatkan pendapatan sesaham (EPS) sebanyak 5.35 sen selepas mengambil kira keuntungan proforma daripada penjualan berkenaan.


Hasil daripada urus niaga tersebut kemudian akan digunakan balik oleh Chuan Huat untuk modal kerja dan pembayaran semula pelbagai pinjaman bank dalam tempoh 12 bulan selepas penyiapan transaksi.


"Lembaga Pengarah kumpulan ini menjangkakan pelupusan tersebut dapat diselesaikan dalam tempoh satu bulan dari tarikh pengumuman pada hari ini. - DagangNews.com