KUALA LUMPUR 30 Dis – Chin Teck Plantations Berhad mencatatkan peningkatan untung bersih ketara sebanyak 129.56% kepada RM200,506,597 bagi tahun kewangan berakhir 31 Ogos 2025 (FY25).
Kumpulan perladangan itu berkata, ia melonjak berbanding RM87,345,635 pada tahun yang sebelumnya, disebabkan terutamanya oleh sumbangan besar daripada syarikat sekutu, West Synergy Sdn Bhd.
Syarikat berkenaan jelasnya, berjaya melengkapkan proses pelupusan tanahnya kepada Gamuda DC Infrastructure Sdn Bhd, selain didorong oleh faktor peningkatan hasil kumpulan secara keseluruhan.
"Hasil turut naik 16.84% kepada RM309,467,789 berbanding RM264,859,442 pada FY24, manakala untung kasar meningkat kepada RM170,298,054," kata Chin Teck dalam maklumannya kepada Bursa Malaysia.
Pendapatan sesaham kumpulan itu juga bertambah kepada 219.46 sen daripada 95.60 sen pada FY24, dan dividen keseluruhan dibayar pula ialah 51 sen seunit, meningkat 27.5% berbanding tahun sebelumnya.
Selain daripada keuntungan pelupusan tanah oleh syarikat sekutu, kumpulan berkenaan menjelaskan, harga jualan purata bagi produk kelapa sawit turut mencatatkan kenaikan yang memberangsangkan.
Harga purata buah tandan segar (BTS) meningkat 17.97% kepada RM965 setiap tan, manakala minyak sawit mentah (MSM) naik 10.14% kepada RM4,312 dan isirung sawit (PK) melonjak 43.12% kepada RM3,326.
"Harga MSM kekal kukuh sepanjang FY25 disebabkan oleh bekalan minyak makan global yang ketat serta permintaan domestik semakin kuat hasil daripada pengembangan biodiesel di Indonesia," katanya.
Chin Teck berkata, dari sudut pengeluaran, ia mencatatkan hasil BTS daripada ladang sendiri iaitu 247,456 tan, manakala pembelian BTS daripada pihak luar juga meningkat 9.77% kepada 66,118 tan.
Secara keseluruhan, pengeluaran MSM meningkat sedikit sebanyak 0.78% kepada 49,175 tan, namun pelaburan dalam ladang kelapa sawit di Indonesia mencatatkan kerugian bersih RM10.93 juta.
Keadaan ini jelas kumpulan berkenaan, disebabkan oleh gangguan aktiviti penuaian akibat masalah pergolakan penduduk kampung di sekitar kawasan ladang di Wilayah Lampung dan Sumatera Selatan.
Pengerusi Eksekutif Chin Teck Goh Wei Lei berkata, kumpulan menjangkakan keputusan perladangan yang memuaskan bagi FY26 di tengah-tengah permintaan berterusan ke atas biodiesel dan minyak makan.
"Prestasi kewangan keseluruhan akan kekal memuaskan, namun sumbangan luar biasa daripada West Synergy tidak berulang memandangkan tiada lagi pelupusan tanah berskala besar dirancang," katanya.
Syarikat berkenaan juga komited untuk terus meningkatkan produktiviti buruh dan memperkukuh amalan pengurusan ladang bagi meningkatkan kecekapan kos tahunan. - DagangNews.com








