Chin Hin, PTT Synergy bentuk syarikat usaha sama bangunkan hab logistik pintar berasaskan AI | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Chin Hin, PTT Synergy bentuk syarikat usaha sama bangunkan hab logistik pintar berasaskan AI

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 7 NovChin Hin Group Berhad dan PTT Synergy Group Berhad memeterai perjanjian usaha sama dan pemegang saham (JVA) membangunkan hab logistik pintar berasaskan kecerdasan buatan (AI).


Ia melibatkan gudang, taman perindustrian serta infrastruktur digital yang bakal berintegrasi dengan teknologi AI, selain sistem automasi, robotik, kembar digital dan rumusan tenaga lestari.


Di bawah perjanjian itu, satu syarikat usaha sama (JV) khas ditubuhkan di Malaysia dengan modal permulaan RM1 juta, dengan Chin Hin memegang 51%, manakala baki 49% lagi dipegang oleh PTT.


"Sementara itu, proses pembiayaan awal sebanyak RM510,000 akan disalurkan terus oleh Chin Hin sendiri melalui sumber dana dalaman," maklum syarikat tersebut kepada Bursa Malaysia hari ini.


Langkah berkenaan jelasnya, dijangka memperkukuh kedudukan Chin Hin dalam segmen pembangunan infrastruktur perindustrian dan logistik pintar, selain membuka laluan ke pasaran baharu.


Kumpulan tersebut optimis, kolaborasi menerusi JV khas tersebut turut akan memanfaatkan kepakaran teknologi automasi yang dimiliki oleh PTT bagi meningkatkan kecekapan dan pendigitalan operasi.


Menurut Chin Hin, projek ini dikenal pasti sebagai berpotensi menjana aliran pendapatan secara berulang dan memperkukuh imej syarikat sebagai penyedia rumusan industri berasaskan teknologi. 


"Bagaimanapun, kami menegaskan yang pelaksanaan JV ini masih lagi tertakluk kepada pelbagai syarat dan kelulusan ketat seperti yang diperincikan dalam perjanjian JVA," jelas kumpulan berkenaan.


Syarikat itu turut mengakui beberapa risiko utama, termasuk cabaran kebergantungan terhadap teknologi milik PTT, keperluan pembiayaan luaran, serta ketidakpastian pelaksanaan projek.


Lembaga Pengarah namun menegaskan bahawa JV tersebut berada dalam kepentingan terbaik syarikat, selaras dengan strategi pertumbuhan secara mampan untuk tempoh jangka panjang Chin Hin sendiri.


Ia memaklumkan JVA itu turut tidak memberi kesan material segera terhadap sebarang keuntungan, aset bersih atau penggeran syarikat berkenaan bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025.


"Sebaliknya, kami berpandangan yang langkah JV ini dijangka hanya mampu menjana sumbangan secara positif kepada prestasi masa hadapan syarikat," katanya lagi. - DagangNews.com