KUALA LUMPUR 2 Sept – Chin Hin Group Property Berhad (CHGP) mengambil alih 55% kepentingan dalam syarikat pemaju berpangkalan di Nilai, Negeri Sembilan, dengan nilai tunai sebanyak RM9.37 juta.
Langkah pemerolehan lebih separuh ekuiti Sunrich Victory Sdn Bhd (SVSB) itu, katanya, merupakan sebahagian daripada strategi perluasan segmen pembangunan hartanah oleh kumpulan berkenaan.
Syarikat berkenaan dimiliki oleh PP Chin Hin Realty Sdn Bhd, sebuah entiti yang dimiliki oleh keluarga Chiau, serta turut merupakan pemegang saham utama dan pengarah dalam CHGP sendiri.
"Perjanjian pengambilalihan tersebut diklasifikasikan sebagai urusan pihak berkaitan kerana melibatkan tokoh-tokoh utama yang tertentu," kata CGHP dalam makluman kepada Bursa Malaysia.
Ini termasuk Pengasas dan Pengerusi Eksekutif Kumpulan, Datuk Seri Chiau Beng Teik serta anaknya, Pengarah Urusan CHGP, Datuk Chiau Haw Choon dan Pengarah Eksekutifnya, Shelly Chiau Yee Wern.
SVSB memiliki sebidang tanah komersial pegangan bebas seluas 16,606 meter persegi di Mukim Labu, Seremban, yang diberi kelulusan pembangunan bercampur melibatkan 1,266 unit pangsapuri servis.
Projek yang dikenali sebagai Projek Nilai itu mempunyai nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM394.3 juta, dengan kos pembangunan kasar (GDC) dianggarkan mencecah kira-kira RM329.3 juta.
Kerja pembangunan dijangka bermula pada suku keempat tahun 2025, dengan semua kelulusan utama termasuk perintah pembangunan dan pelan bangunan telah pun diperoleh kumpulan berkenaan.
CHGP menyatakan bahawa pengambilalihan ini adalah sebahagian pelan strategik kumpulan memperluas portfolio pembangunan dalam pasaran hartanah yang kompetitif, khususnya di kawasan berpotensi.
“Pengambilalihan ini sejajar strategi menyeluruh kumpulan untuk memperkukuh segmen pembangunan hartanah, dan dijangka mampu menjana aliran pendapatan masa depan kepada kumpulan,” katanya.
Urus niaga itu dibiayai sepenuhnya menggunakan dana dalaman syarikat tersebut sendiri, yang menandakan kekukuhan aliran tunai CHGP tanpa kebergantungan kepada pembiayaan luaran. - DagangNews.com








