Chin Hin bekalkan jaring dawai dikimpal, batang besi kepada EC Excel selama 3 tahun | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Chin Hin bekalkan jaring dawai dikimpal, batang besi kepada EC Excel selama 3 tahun

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 5 JanChin Hin Group Berhad dan EC Excel Wire Holdings Sdn Bhd (EEWH) menjalin kerjasama strategik dalam pembekalan lembaran dawai, termasuk jaring dawai dikimpal serta batang besi.


Kumpulan tersebut berkata, ia susulan pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) pada 2 Januari 2026 dengan melibatkan pelbagai projek semasa dan akan datang syarikat berkenaan selama tiga tahun.


Kerjasama julung kali itu jelasnya, akan boleh diperbaharui secara automatik pada setiap tahun kecuali ditamatkan dengan makluman notis dalam tempoh masa 30 hari oleh mana-mana pihak.


"Chin Hin turut memberi hak pertama kepada EEWH untuk membekalkan produk berkenaan, tertakluk kepada harga kompetitif berbanding pembekal pihak ketiga lain," maklumnya kepada Bursa Malaysia.


MoU ini tambahnya, dijangka memastikan kesinambungan dan kepastian bekalan produk besi selepas penjualan Metex Steel Sdn Bhd, sambil membolehkan EEWH memanfaatkan keupayaan pengeluarannya.


Berdasarkan perjanjian tersebut, Lembaga Pengarah Chin Hin menyifatkan peluang kerjasama terbaharu ini sebagai memberi banyakmanfaat sinergi kepada kumpulan berkenaan sendiri pada masa depan.


Dari aspek kewangan, MOU ini tidak dijangka memberi kesan material ke atas aset bersih sesaham, pendapatan, permodalan, nisbah hutang atau pegangan bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025.


"Tiada mana-mana pengarah, pemegang saham utama atau individu berkepentingan yang jelas mempunyai kepentingan secara langsung atau tidak langsung dalam MoU ini," kata kenyataan Chin Hin tersebut. 


Tambah kumpulan berkenaan, MoU berkenaan juga tidak memerlukan sebarang kelulusan daripada pemegang saham syarikat tersebut atau pihak berkuasa kerana berlaku dalam urusan perniagaan biasa.


Dokumen memorandum itu boleh disemak di pejabat berdaftar Chin Hin di Menara 1MK, Jalan Kiara, Mont Kiara, Kuala Lumpur bagi tempoh tiga bulan dari tarikh pengumuman. - DagangNews.com