Chery labur RM2.2 bilion selama 5 tahun dalam Taman Perindustrian Automotif Pintar di Hulu Selangor | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Chery labur RM2.2 bilion selama 5 tahun dalam Taman Perindustrian Automotif Pintar di Hulu Selangor

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 24 Feb — Chery Holding Group Co Ltd melabur RM2.2 bilion selama lima tahun untuk membangunkan Taman Perindustrian Automotif Pintar Chery di Lembah Beringin High-Tech Auto (HTA), menurut Presiden Chery International, Zhang Guibing.
 

Pelaburan itu menandakan fasa pertama pembangunan dalam ekosistem yang seluas 323.75 hektar di kawasan tersebut, bertujuan untuk membawa ramai pembuat automotif bertaraf dunia dan berteknologi canggih datang ke Daerah Hulu Selangor.
 

Taman Perindustrian Automotif Pintar Chery yang berkeluasan 80.9 hektar itu sejajar dengan visi Lembah Beringin HTA untuk membangunkan sebuah perbandaran bersepadu serta direka untuk menarik bakat terbaik, pelaburan besar dan inovasi baharu.
 

Fasiliti Chery itu ujar Guibing, yang dijangkakan siap pada tahun depan, bakal memiliki kapasiti pengeluaran awal sebanyak 100,000 unit kenderaan setiap tahun, dengan potensi pengembangan kepada 300,000 unit kenderaan setahun.
 

Beliau menambah bahawa pelaburan besar Chery menggariskan keunggulan Malaysia yang semakin meningkat sebagai pemain utama dalam industri automotif serantau selain ia berbangga akan menjadi sebahagian daripada pembangunan visi itu.


“Kami mewujudkan kemudahan bertaraf dunia, menyepadukan teknologi pintar terkini dan menghasilkan pelbagai kenderaan, daripada model enjin pembakaran dalaman (ICE) kepada kenderaan elektrik hibrid plug-in (PHEV), kenderaan elektrik bateri (BEV) dan kenderaan cekap tenaga (EEV).
 

“Kemudahan ini akan mewujudkan peluang pekerjaan bernilai tinggi, menempatkan pusat penyelidikan dan pembangunan (R&D) termaju, meluaskan eksport ke negara jiran, mengukuhkan peranan Selangor melalui rantaian bekalan mantap dan mengangkat kedudukan Malaysia sebagai hab automotif terkemuka ASEAN.
 

"Kami yakin apabila siap, Taman Perindustrian Automotif Pintar Chery dijangka menjana antara 1,500 hingga 3,000 peluang pekerjaan baharu dalam fasa pertama di Malaysia," katanya pada acara pecah tanah fasiliti berkenaan.
 

Beliau turut menandatangani perjanjian yang melibatkan Legenda Beringin Holding Sdn Bhd dan Chery Corporate Malaysia Sdn Bhd. Ia disaksikan oleh Putera Mahkota Selangor, yang juga Penaung Diraja Invest Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah.

 

Turut hadir, Exco Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti Selangor, Ng Sze Han; Pengerusi Chery Automobile Co Ltd, Yin Tongyue; Naib Presiden Eksekutif Chery Malaysia, Leo Chen; dan Pengerusi Legenda Beringin, Chia Song Kooi.

 

Legenda Beringin merupakan pemaju utama Lembah Beringin HTA yang akan menjadi lokasi pelaburan terbaharu Chery di Malaysia.

 

Sementara itu, Song Kooi menyatakan bahawa pelaburan berterusan Chery sebagai sebuah syarikat Fortune Global 500 di Selangor mencerminkan keyakinan antarabangsa terhadap ekosistem pelaburan dan perindustrian negeri itu.

 

Beliau berkata pencapaian ini menandakan satu langkah penting dalam mengukuhkan kedudukan Malaysia dan Selangor sebagai hab utama bagi pembuatan automotif berteknologi tinggi dan inovasi teknologi.

 

Tambahnya, selaras dengan pembangunan Lembah Beringin HTA dan perkongsian strategik dengan Chery Malaysia, ia menekankan tarikan dan pembangunan Selangor sebagai destinasi utama untuk pelaburan automotif berteknologi tinggi.

 

"Projek ini lebih daripada sekadar pelaburan. Ia menyokong aspirasi Malaysia untuk menjadi ekonomi industri berteknologi tinggi dan mampan menjelang 2030, selaras dengan Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP).

 

"Kami amat berterima kasih atas keyakinan yang ditunjukkan oleh Chery, serta sokongan padu daripada Kerajaan Negeri Selangor, Invest Selangor, dan pelbagai pihak berkuasa dan agensi tempatan. Dengan perpaduan, keazaman, dan cita-cita bersama, kami yakin dapat merealisasikan wawasan ini," katanya. - DagangNews.com