KUALA LUMPUR 12 Sept – Cheeding Holdings Berhad mengorak langkah menuju penyenaraian di Pasaran ACE Bursa Malaysia apabila memeterai perjanjian taja jamin bersama TA Securities Holdings Berhad.
Penyedia rumusan kejuruteraan utiliti dalam industri infrastruktur tenaga itu berkata, cadangan penerbitan tawaran awam permulaan (IPO) tersebut sebelum ia disenaraikan pada 7 Oktober 2025.
Ia termasuk tajaan, nasihat utama, penempatan dan penjaminan dengan jumlah terbitan melibatkan 143 juta saham baharu pada harga tawaran 36 sen sesaham yang dijangka mengumpul dana RM51.5 juta.
"Struktur IPO ini antaranya 143 juta saham baharu, termasuk 39.86 juta untuk permohonan orang awam Malaysia dan 27.20 juta untuk pelabur terpilih secara penempatan," kata Cheeding dalam kenyataan.
Sejumlah 8.17 juta ditawar kepada pihak berkepentingan dalaman serta 67.77 juta melalui penempatan kepada pelabur Bumiputera diluluskan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).
Di samping itu tambah kumpulan berkenaan, sebanyak 65 juta saham sedia ada pula bakal ditawarkan untuk jualan melalui penempatan kepada para pelabur Bumiputera dan pelabur yang memang terpilih.
Berdasarkan jumlah saham terbitan selepas IPO iaitu 797.26 juta unit, penyenaraian tersebut akan meletakkan nilai permodalan pasaran terhadap Cheeding pada anggaran yang mencecah RM287 juta.
"Hasil IPO akan diguna bagi mengukuh keupayaan operasi syarikat, antaranya RM24.6 juta (47.8%) untuk modal kerja dan RM16.2 juta (31.4%) bagi penyediaan bon prestasi projek baharu," katanya.
Selain itu, sebanyak RM3.2 juta (6.2%) untuk perolehan jentera pembinaan baharu, RM2.3 juta (4.5%) bagi pembayaran semula pinjaman bank, dan RM5.2 juta (10.1%) untuk menampung kos penyenaraian.
Melalui anak-anak syarikat Cheeding, ia menawarkan pelbagai perkhidmatan kejuruteraan dalam bidang kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) serta penyelenggaraan infrastruktur.
Sejak projek pertama bersama Tenaga Nasional Berhad (TNB) pada 2010, ia mengekalkan hubungan perniagaan strategik, dan kini berstatus kontraktor Gred G7 berdaftar dengan CIDB Malaysia.
"Setakat 15 Ogos 2025, kumpulan ini mencatat buku tempahan berjumlah RM202.7 juta, yang menjamin keterlihatan pendapatan dalam tahun-tahun mendatang," kata Ketua Pegawai Operasi, Ng Lam Shein.
Pertumbuhan syarikat terbukti dalam peningkatan hasil ketara daripada RM9.5 juta (FY22) kepada RM117.7 juta (FY25), disusuli keuntungan selepas cukai sebanyak RM26.3 juta bagi tahun kewangan terkini.
Penyenaraian itu katanya, bukan penamat tetapi permulaan babak baharu dan menjadi batu loncatan melaksanakan projek lebih besar selari dengan usaha negara memodenkan grid dan integrasi tenaga.
Sementara itu, Ketua Kewangan Korporat TA Securities, Ku Mun Fong menyatakan keyakinan yang Cheeding mampu mendapat manfaat daripada unjuran positif sektor infrastruktur tenaga di Malaysia.
“Dengan kekuatan kewangan kukuh dan pekerja berkemahiran tinggi, ia berada pada kedudukan strategik merebut peluang dalam pasaran berimpak tinggi di Semenanjung," katanya. - DagangNews.com








