KUALA LUMPUR 23 Sept – Kebergantungan hampir penuh kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB) boleh menjejaskan pertumbuhan Cheeding Holdings Berhad, menurut Public Investment Bank (PublicInvest).
Firma penyelidikan tersebut berkata, kumpulan penyedia rumusan kejuruteraan utiliti industri infrastruktur tenaga itu ketika ini bergantung dengan kontrak TNB kira-kira 99.3% daripada buku tempahan sedia ada.
Pada masa sama tambahnya, kebergantungan kepada pekerja asing mahir yang membentuk sejumlah 69% tenaga kerja syarikat berkenaan, turut dikenal pasti sebagai antara beberapa risiko utamanya setakat ini.
"Sebarang pengurangan pelaburan oleh TNB, kegagalan syarat kelulusan projek, atau perubahan dasar tenaga kerja asing boleh mengganggu prestasi kewangan Cheeding," kata PublicInvest dalam notanya.
Selain itu tambah firma berkenaan, pergantungan kumpulan berkenaan kepada pembekal tunggal bagi pembangunan struktur menara 'pylon' juga boleh menjadi liabiliti operasi dalam jangka panjang.
Walaupun berdepan dengan risiko tersebut, Cheeding dilihat berada dalam kedudukan unik sebagai satu-satunya syarikat tersenarai yang terdedah secara langsung kepada perbelanjaan grid TNB.
Ini khususnya dalam kerja-kerja pemasangan talian atas dan ia dijangka menjadi penerima manfaat utama hasil lonjakan perbelanjaan modal TNB sebanyak RM42.8 bilion bagi tempoh 2025 hingga 2027.
"Jumlah ini ditetapkan di bawah Tempoh Kawal Selia 4 (RP4) yang sebenarnya lebih dua kali ganda berbanding peruntukan dalam RP3 antara 2022 hingga 2024," kata firma penyelidikan tersebut.
Setakat 15 Ogos 2025, Cheeding kata PublicInvest, mempunyai buku tempahan belum dibil sebanyak RM202.7 juta, yang menyumbang kepada jangkaan pertumbuhan pendapatan kukuh untuk FY26 dan FY27.
Firma itu juga mencatat margin keuntungan bersih antara 22% hingga 23%, lebih tinggi berbanding purata industri sekitar 12%, didorong struktur kos cekap dan kecekapan pengurusan projek.
Justeru katanya, bagi mengurangkan kebergantungan dan meluaskan aliran hasil, Cheeding merancang antaranya dengan melibatkan diri secara lebih aktif dalam projek bawah tanah dan stesen kecil.
"Kami difahamkan yang syarikat ini mahu menubuhkan Jabatan Rekaan dalaman bagi kawalan kualiti lebih baik dan pengejar projek berskala lebih besar di seluruh Semenanjung Malaysia," katanya.
Berdasarkan perkembangan itu, PublicInvest meletakkan nilai saksama 80 sen sesaham berasaskan gandaan 20 kali kepada perolehan sesaham 2026 sejajar dengan purata industri kejuruteraan utiliti.
Namun, ia kekal berhati-hati terhadap risiko operasi yang boleh mempengaruhi margin, prestasi kewangan dan pertumbuhan jangka panjang Cheeding jika tidak ditangani strategik. - DagangNews.com








