CGSI: Kemudahan rawatan mata 7.5 juta ahli koperasi jadi pemangkin hasil baharu Optimax mulai FY26 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

CGSI: Kemudahan rawatan mata 7.5 juta ahli koperasi jadi pemangkin hasil baharu Optimax mulai FY26

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 28 April — Potensi kemudahan akses kepada lebih 7.5 juta ahli koperasi dilihat sebagai pemangkin baharu kepada pertumbuhan pendapatan Optimax Holdings Berhad mulai FY26.


Perkembangan positif itu menurut CGS International (CGSI), sekali gus membuka ruang pasaran besar yang sebelum ini belum diterokai dengan Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (MyAngkasa).


Kata firma itu, pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) pada 10 Mac 2026 dilihat mampu dalam meningkatkan keterlihatan pemerolehan pesakit, selain perluasan capaian ke segmen sektor awam.


"Kerjasama ini membolehkan Optimax menawarkan perkhidmatan penjagaan mata komprehensif kepada ahli dan kakitangan koperasi, sekali gus menjadi saluran pertumbuhan baharu kepada kumpulan," jelasnya.


Dengan asas keahlian yang amat ramai ujar CGSI, perjanjian MoU ini merupakan peluang mudah untuk kumpulan itu meningkatkan jumlah pesakit, lebih-lebih lagi dengan kemudahan pembiayaan kredit.


Menurutnya, dengan setiap tambahan 200 pesakit baharu berpotensi menyumbang RM0.9 juta kepada keuntungan bersih, bersamaan 5% daripada unjuran keuntungan kumpulan bagi tahun kewangan 2026.


Sehubungan itu, firma tersebut menaikkan unjuran pendapatan sesaham (EPS) teras Optimaax bagi FY26 dan FY27 masing-masing 6.8% dan 3.6%, mengambil kira sumbangan daripada kerjasama berkenaan.

 

Optimax_DagangNews


"Kami menjangka keuntungan bersih pada kadar pertumbuhan tahunan terkumpul (CAGR) 16.5% bagi tempoh FY25 hingga FY28, disokong peningkatan operasi pusat rawatan ambulatori (ACC)," kata CGSI.


Tambahnya, pertumbuhan masa depan turut dipacu oleh pengenalan perkhidmatan telinga, hidung dan tekak (ENT) yang dijangka bermula suku kedua 2026, selain pembukaan beberapa lagi hospital baharu.


Langkah pengembangan ini jelas firma itu, dijangka meningkatkan kadar penggunaan fasiliti bilik bedah daripada sekitar 40% kepada 70%, sekali gus mengoptimumkan kapasiti Optimax yang sedia ada.


Dari sudut penilaian, CGSI mengekalkan saranan 'tambah' ke atas saham kumpulan berkenaan dengan harga sasaran (TP) yang tinggi sedikit iaitu 76 sen daripada 75 sen, berasaskan model pertumbuhan Gordon.


"Saham syarikat ini diniagakan pada penilaian yang menarik dengan nisbah unjuran perolehan kasar pada FY27 sekitar 5.6 kali, jauh lebih rendah berbanding purata sektor penjagaan kesihatan," ujarnya.


Firma itu turut menjangkakan sentimen pelabur terus pulih seiring pengukuhan momentum pendapatan kumpulan, disokong oleh pembukaan pusat baharu dan prestasi operasi Optimax yang lebih kukuh.


Bagaimanapun, CGSI memberi amaran antara risiko utama termasuk kelewatan pelaksanaan pelan pengembangan serta tempoh matang yang lebih panjang bagi pusat rawatan baharu. - DagangNews.com