CGSI beri amaran Nestle berisiko pelabur beralih ke syarikat lain jika nilai saham kekal amat tinggi | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

CGSI beri amaran Nestle berisiko pelabur beralih ke syarikat lain jika nilai saham kekal amat tinggi

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 30 April – Risiko pelabur beralih kepada saham bermodal besar lain semakin meningkat sekiranya nilai Nestlé (Malaysia) Berhad kekal terlalu tinggi, menurut CGS International (CGSI).


Kata firma itu, meskipun syarikat terus mencatatkan prestasi hasil yang berdaya tahan, sahamnya pula diniagakan amat besar kira-kira 38.8 kali ganda nisbah harga kepada pendapatan (PER) FY26.


Ujarnya, penilaian mahal kekal menjadi faktor penekan utama, khususnya dalam persekitaran pelabur mungkin mencari saham lain dengan modal besar yang sebelum ini terjejas dan masih harga rendah.


"Sehubungan itu, kami masih lagi mengekalkan saranan 'kurangkan pegangan' ke atas saham Nestle dan harga sasaran (TP) juga tidak berubah kepada RM92 sesaham," kata CGSI dalam nota analisisnya.


Dari segi prestasi kewangan bagi suku pertama FY26, kumpulan itu mencatat keuntungan bersih teras RM193 juta, meningkat 19.6% tahun ke tahun (YoY), sejajar dengan jangkaan faktor musim perayaan.


Jelas firma penyelidikan tersebut, pertumbuhan hasil domestik sebanyak 7.5% disokong perayaan Hari Raya Aidilfitri yang lebih awal, manakala jualan eksport pula didapati perlahan pada kadar 2.3%.


Bagaimanapun tambah CGSI, margin keuntungan kasar Nestle naik kepada 31.9%, disokong penurunan harga koko dan kopi global serta pengukuhan nilai ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS).

 

Nestle_DagangNews


"Pada masa sama, pihak pengurusan memaklumkan mengenai rantaian bekalan syarikat ini yang pelbagai dari segi geografi membantu mengurangkan risiko gangguan akibat konflik di Timur Tengah," katanya.


Faktor luar seperti harga bahan mentah yang lebih rendah dan kadar tukaran kukuh ujarnya, dijangka dapat menampan tekanan kos dalam jangka pendek, terutamanya bagi suku kedua dan ketiga FY26.


CGSI namun memberi amaran mengenai ketegangan di Timur Tengah jika berpanjangan sehingga melepasi tempoh tersebut, Nestlé kemungkinan perlu melaraskan harga produk bagi mengekalkan margin sihat.


Selain itu, firma tersebut menurunkan unjuran keuntungan bersih bagi FY26 dan FY27 masing-masing sebanyak 1.6% dan 6.2% berikutan jangkaan kos bahan mentah dan logistik diramal lebih tinggi.


"Walaupun asas perniagaan kekal stabil disokong rangkaian produk luas merentasi pelbagai segmen harga, hasil dividen 2.5% dilihat tidak cukup menyokong harga saham daripada penurunan," katanya.


Secara keseluruhan, CGSI berpandangan risiko penurunan harga saham Nestle lebih ketara ketika ini, dengan pemangkin utama termasuk peralihan pelabur serta tekanan penilaian yang tinggi. - DagangNews.com