CEO Desatera dianugerah Leftenan Kolonel Kehormat atas kecemerlangan perkhidmatan katering tentera | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

CEO Desatera dianugerah Leftenan Kolonel Kehormat atas kecemerlangan perkhidmatan katering tentera

FEIZAL Nor Nurbi (tengah) menerima penganugerahan pangkat Leftenan Kolonel Kehormat daripada wakil Tentera Darat Malaysia sebagai mengiktiraf kecemerlangan Desatera dalam penyediaan perkhidmatan katering dan pengurusan fasiliti kepada Angkatan Tentera Malaysia.
Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 12 Nov – Kecemerlangan Desatera Sdn Bhd dalam menyediakan perkhidmatan katering dan pengurusan fasiliti untuk Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menerima pengiktirafan tertinggi.


Ia menyaksikan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Paduka Feizal Nor Nurbi dianugerahkan pangkat Leftenan Kolonel Kehormat oleh Yang di-Pertuan Agong melalui Tentera Darat Malaysia (TDM).


Penganugerahan itu mencerminkan penghargaan terhadap mutu perkhidmatan, kebolehpercayaan dan profesionalisme Desatera, yang sudah lama menjadi rakan strategik penting kepada pasukan tersebut.


Fiezal menyifatkan pengiktirafan tersebut sebagai satu penghormatan besar kepada seluruh warga Desatera dalam memastikan keberkesanan operasi dan kebajikan anggota tentera di seluruh negara.


“Pengiktirafan ini juga adalah bentuk cerminan semangat pasukan dan dedikasi kami dalam memberikan perkhidmatan kepada mereka yang berkorban untuk negara," katanya dalam kenyataan syarikat itu. 


Selain itu, beliau memberi jaminan yang pihaknya, sentiasa komited mengekalkan standard tertinggi dari segi kualiti, kebolehpercayaan dan integriti dalam setiap aspek perkhidmatan disediakan.


Sementara itu, wakil TDM turut menzahirkan penghargaan atas komitmen secara berterusan oleh phak Desatera dalam menyokong operasi logistik dan penyediaan makanan bermutu untuk pasukan tentera.


“Tahap tinggi dari segi profesionalisme dan konsistensi Desatera selama ini banyak menyumbang kepada keberkesanan pelbagai operasi harian serta kebajikan anggota kami sendiri,” katanya.


Mengulas lanjut, kenyataan itu menambah, sebagai anak syarikat Kumpulan Brahim’s Dewina, Desatera merupakan peneraju katering ketenteraan dan industri, pengurusan fasiliti, serta logistik makanan.


Perkhidmatannya berteraskan pengalaman berdekad dalam ekosistem makanan Brahim’s yang sinonim dengan kualiti dan inovasi, di samping aktif menyokong inisiatif keselamatan makanan nasional.


Perkembangan tersebut juga jelas syarikat berkenaan, adalah sejajar dengan usaha kerajaan untuk memperkukuh daya tahan dan kelestarian sumber makanan secara jangka panjang ke atas rakyat.


Anugerah diterima itu juga mengukuhkan reputasi Desatera sebagai rakan utama dalam kesiapsiagaan pertahanan negara, sekali gus mencerminkan komitmen syarikat terus berkhidmat. - DagangNews.com