KUALA LUMPUR 7 Jan — Central Global Berhad menerima kelulusan daripada Bursa Malaysia Securities Berhad untuk pengelasan semula sektor dan subsektor syarikat itu kepada sektor pembinaan.
Perubahan klasifikasi tersebut akan berkuat kuasa pada pukul 9 pagi, 12 Januari 2026. Kumpulan itu asalnya dikenali sebagai Central Industrial Corporation Berhad dan ditubuhkan sejak 1972.
Sebelum ini, syarikat itu dikelaskan di bawah sektor produk dan perkhidmatan perindustrian dengan subsektor bahan pembungkusan, kerana terlibat aktif dalam bidang pembuatan pita industri.
"Pengelasan semula ini dibuat atas permintaan syarikat dan mengambil kira beberapa faktor utama, termasuk perubahan aktiviti perniagaan," maklum Central Global kepada Bursa Malaysia hari ini.
Langkah pertukaran itu juga selaras dengan sumbangan teras perniagaan terhadap prestasi kewangan kumpulan tersebut, namun nama singkatan saham CGB dan nombor saham 8052 masih tidak berubah.
Ia dikenali dengan nama sekarang pada 5 Oktober 2018 sebagai syarikat pemegang pelaburan, hasil daripada penyusunan semula kumpulan perniagaan yang sebelum ini dijalankan oleh subsidiari utama.
Sementara itu, menurut kenyataan Bursa Malaysia, pengemaskinian pengelasan sektor ini bertujuan memastikan pelabur dan peserta industri menerima maklumat terkini berkaitan hala tuju syarikat.
Situasi berkenaan jelasnya, turut memastikan fokus perniagaan semua syarikat tersenarai awam di Pasaran Utama, Pasaran ACE dan Pasaran LEAP adalah tepat. - DagangNews.com








