Censuria manfaatkan pertumbuhan pesat segmen pejabat keluarga tunggal menerusi kerjasama dengan Affin | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Censuria manfaatkan pertumbuhan pesat segmen pejabat keluarga tunggal menerusi kerjasama dengan Affin

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 29 AprilCensuria Family Office menjalin kerjasama strategik dengan Affin Group bagi memanfaatkan inisiatif pengurusan kekayaan di bawah perbankan persendirian Affin Diventium.


Kerjasama berkenaan turut menjadi sebahagian persediaan kukuh syarikat itu mendaftar di bawah Skim Insentif Pejabat Keluarga Tunggal (SFO) yang dikawal selia oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC).


Menurutnya dalam kenyataan, perkembangan terbaharu itu sekali gus meletakkan negara ini sebagai hab pengurusan kekayaan serantau yang semakin kompetitif, khususnya segmen ekuiti persendirian.


"Dipimpin pelabur pasaran modal terkenal, Datuk Marco Yap, Censuria memfokuskan perancangan untuk memperluaskan portfolio melalui kerjasama bersama Affin Hwang Investment Bank Berhad," jelasnya.


Usaha tersebut jelas kumpulan berkenaan, termasuk pelaburan dalam ekuiti tersenarai, peluang penyenaraian baharu sebelum tawaran awam permulaan (IPO) dan sekuriti dengan pendapatan tetap.


Kerjasama itu membuka peluang pelaburan bersama serta akses kepada rangkaian pelabur swasta serta institusi di Malaysia dan rantau ini, di samping menawarkan rumusan lebih tersusun dan bersepadu.


Censuria menurut Yap, bersedia dalam menyediakan pelbagai rumusan perbankan pelaburan, pengurusan kekayaan dan pembrokeran yang cukup komprehensif di seluruh pasaran Malaysia dan Asia Tenggara.


"Kami turut memberikan rumusan perkhidmatan pelaburan yang disesuaikan dan mantap kepada Censuria sendiri dan juga cabang ekuiti persendirian kami, Censuria Capital Sdn Bhd,” tambah beliau.


Sementara itu, Pengarah Urusan Pengurusan Kekayaan Affin Bank Berhad, Dr Calvin Goon berkata, kerjasama ini akan memacu pertumbuhan portfolio jangka panjang dan inisiatif pelaburan strategik.


Pada masa sama ujar beliau, peningkatan minat pelabur di negara ini terhadap SFO didorong oleh faktor keperluan perancangan penggantian dan pemeliharaan kekayaan jangka panjang keluarga. 


Katanya, skim insentif kerajaan menetapkan syarat termasuk aset minimum RM30 juta, perbelanjaan operasi tempatan RM500,000 setahun serta pengambilan tenaga kerja profesional tempatan.


"Kami teruja bekerjasama dengan Censuria, memberikan rumusan nasihat, pelaburan dan pengurusan kekayaan yang disesuaikan, serta memperkukuh ekosistem pejabat keluarga Malaysia,” kata Goon.


Secara keseluruhan, langkah Censuria ini dilihat tepat berikutan daya tarikan SFO sejak beberapa tahun lalu selari aspirasi negara menjadi pusat pengurusan kekayaan serantau. - DagangNews.com