KUALA LUMPUR 8 Mei – Cengild Medical Berhad mengambil langkah menyusun semula penggunaan baki dana tawaran awam permulaan (IPO) sebanyak RM4.88 juta bagi menampung keperluan modal kerja harian.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, kumpulan perkhidmatan kesihatan swasta itu berkata, pada ketika ini kos operasi sektor penjagaan kesihatan terus meningkat dan perkara ini turut dirasai syarikat tersebut.
Sehubungan itu jelasnya, lembaga pengarah meluluskan cadangan bagi mengubah penggunaan sebahagian hasil IPO kepada modal kerja am selaras dengan keperluan operasi dan perniagaan semasa kumpulan.
"Daripada jumlah keseluruhan hasil IPO kira-kira RM72.2 juta yang diperoleh selepas penyenaraian di Pasaran ACE pada April 2022, sebanyak RM48.78 juta sudah digunakan setakat 31 Mac 2026," kata Cengild.
Sementara baki yang belum digunakan lagi ujarnya, berjumlah RM23.42 juta, manakala sebanyak RM4.88 juta daripada baki hasil IPO tersebut pula akan diperuntukkan semula bagi tujuan modal kerja am.
Permodalan berkenaan tambah kumpulan tersebut, boleh dimanfaatkan termasuk untuk pembelian bekalan dan bahan perubatan, pembayaran kos kakitangan syarikat serta perbelanjaan operasi yang lain.
Cengild berkata, sebelum ini dana IPO tersebut diperuntukkan khusus bagi pengambilan doktor perunding, pakar bedah, jururawat dan kakitangan sokongan klinikal selain pembelian bekalan perubatan.
"Perubahan ini dijangka memberi fleksibiliti besar kepada kumpulan dalam mengurus aliran tunai dan penggunaan sumber kewangan secara lebih efisien berdasarkan keperluan operasi semasa," katanya.
Dalam pecahan penggunaan terdahulu, ia membelanja RM3.77 juta bagi pengambilan staf kejururawatan, sokongan klinikal dan pentadbiran, manakala RM599,000 untuk doktor perunding serta pakar bedah.
Selain itu tambah Cengild, sebanyak RM567,000 sudah digunakan kumpulan berkenaa untuk urus niaga pembelian pelbagai bekalan dan bahan guna perubatan, selepas penyenaraian di Bursa Malaysia.
Cadangan perubahan penggunaan dana tersebut jelasnya, tidak akan memberi kesan terhadap modal saham, pegangan pemegang saham utama, aset bersih, gearan atau pendapatan sesaham syarikat itu.
"Ia juga tidak memerlukan kelulusan pemegang saham atau bursa kerana jumlah yang terlibat kurang 25% daripada keseluruhan hasil IPO dan tidak dianggap sebagai perubahan material," katanya.
Justeru, berdasarkan perkembangan tersebut, Lembaga Pengarah Cengild berpandangan langkah itu adalah demi kepentingan terbaik syarikat berkenaan sendiri. - DagangNews.com








