KUALA LUMPUR 10 Sept – Cenergi SEA Berhad bersama-sama YPJ Plantations Sdn Bhd (YPJP) menjalin kerjasama membangunkan loji janakuasa biogas pertama di Kota Tinggi, Johor selama 21 tahun.
Anak syarikat UEM Lestra Berhad itu berkata, projek khas tersebut di bawah program Tarif Galakan (FiT) 2.0 yang diumumkan oleh Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA) pada Julai 2025.
Menerusi pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU), projek tenaga boleh diperbaharui (RE) ini dijangka dapat menjual semula bekalan tenaga elektrik kepada grid Tenaga Nasional Berhad (TNB).
"Loji yang berkapasiti 1.2 MW itu akan dibangunkan di atas tanah seluas 1.6 hektar bersebelahan kilang kelapa sawit Alaf milik YPJP," kata Cenergi dalam satu kenyataan bersama dengan YPJP.
Tambahnya, ia bakal memanfaatkan penggunaan teknologi pencernaan anaerobik untuk pemprosesan efluen daripada kilang minyak sawit (POME) dan memperoleh pula biogas metana bagi penjanaan elektrik.
Ia dijangka menghasilkan 8 juta kWh tenaga elektrik setahun, cukup bagi membekalkan elektrik kepada lebih 2,000 isi rumah di Johor, sambil mengurangkan pelepasan gas rumah hijau secara signifikan.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Cenergi, Ir Kwok Yew Hoe berkata, projek ini akan memastikan penghasilan RE secara berterusan daripada sisa diproses oleh kilang kelapa sawit Alaf.
"Usaha ini sekali gus mengelakkan pelepasan metana ke atmosfera dan dari segi pengurangan karbon dioksida, ia bersamaan pengeluaran kira-kira 4,500 kereta dari jalan raya setiap tahun.” katanya.
Beliau menambah, Cenergi kini mengendalikan lebih 20 loji biogas di seluruh negara, dan usaha ini juga menyokong aspirasi alam sekitar, sosial dan urus tadbir (ESG) YPJP serta sasaran RE Malaysia.
YPJP merupakan anak syarikat milik penuh YPJ Holdings Sdn Bhd, sebuah syarikat berkaitan kerajaan negeri melalui Yayasan Pelajaran Johor, yang terlibat dalam perdagangan komoditi kelapa sawit.
Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif YPJ Holdings, Farizal Ismail berkata, kerjasama dua pihak ini mencerminkan komitmen YPJP dalam menjadikan kelestarian sebagai teras operasi kelapa sawit.
"Ia menyokong wawasan hijau Johor dan meningkatkan daya tahan ekonomi negeri. Kami yakin kepakaran Cenergi dalam pembangunan tenaga lestari memastikan projek memberi nilai jangka panjang," katanya.
Perkara itu tambahnya, termasuk dari segi peluang pekerjaan dan penglibatan pembekal tempatan. MoU ini dilihat sebagai langkah penting menyokong agenda RE Malaysia menerusi Program FiT 2.0.
Di bawah tarif berkenaan, kadar tetap sebanyak 45 sen setiap kWh diberikan untuk 10 tahun pertama, manakala kadar bagi 11 tahun berikutnya akan ditentukan menerusi proses bidaan secara terbuka.
Projek ini juga memperlihatkan potensi besar kerjasama awam-swasta dalam mempercepatkan tindakan iklim, serta memberikan manfaat ketara kepada alam sekitar dan komuniti setempat. - DagangNews.com








