KUALA LUMPUR 21 April - Teknologi kejuruteraan dari Finland menjadi sandaran syarikat automotif Cendana Auto Sdn Bhd (Cendana Auto) bagi memperkukuh keupayaan industri pertahanan Malaysia.
Ini menerusi kerjasama strategik yang dimeterai dengan firma negara tersebut, Sisu Auto.
Memorandum persefahaman bagi kerjasama strategik itu dimeterai kedua-dua pihak pada Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) di Mitec di sini.
Kerjasama tersebut dilihat sebagai langkah penting dalam usaha meningkatkan kebergantungan negara dalam sektor automotif pertahanan.

Juruterа dan tenaga teknikal Malaysia bakal memperoleh pengalaman dalam integrasi sistem serta piawaian antarabangsa.
Secara keseluruhan, kerjasama ini dijangka membuka peluang pasaran eksport baharu ke rantau Asia, Australasia, Timur Tengah dan Afrika.
Cendana Auto dalam kenyataan memberitahu, inisiatif tersebut turut selari dengan agenda nasional untuk memperkasa daya tahan industri tempatan.
Melalui kerjasama ini, kedua-dua pihak akan memberi tumpuan kepada pembangunan teknologi, kejuruteraan dan lokalisasi platform kenderaan pertahanan.

“Usaha itu merangkumi keseluruhan rantaian nilai daripada penyelidikan dan pembangunan (R&D) hingga ke peringkat pembuatan dan sokongan kitar hayat.
“Program pembangunan bersama akan menjadi teras utama dengan penekanan terhadap reka bentuk serta penyesuaian platform kenderaan canggih.
“Ia termasuk pembangunan konfigurasi pemanduan sebelah kanan (RHD) yang memenuhi keperluan operasi serantau,” ujar kenyataan tersebut.
Kerjasama ini juga akan melibatkan pemindahan teknologi secara tersusun dan pembangunan bersama sistem serta sub-sistem.
Pada masa sama, pembangunan harta intelek tempatan akan diperkasakan secara berperingkat-peringkat
Menurut kenyataan itu lagi, Cendana Auto dijangka memperluas fasiliti sedia ada bagi menyokong pemasangan dan pembuatan tempatan.

Ini termasuk pelaksanaan program pemasangan unit komponen terurai (CKD) dan pemasangan separuh siap (SKD).
“Langkah tersebut sekali gus memperkukuh ekosistem vendor domestik serta rantaian bekalan negara.
“Kerjasama ini turut memberi manfaat kepada pembangunan modal insan tempatan melalui pendedahan kepada teknologi terkini,” ujar kenyataan itu. - DagangNews.com








