KUALA LUMPUR 26 Sept - Kenderaan serangan ringan Magatti rekaan syarikat automotif tempatan, Cendana Auto telah menerima beberapa pertanyaan dan minat daripada pihak industri, termasuk dalam dan luar negara.
Perbincangan sedang diadakan bersama pelanggan untuk memuktamadkan spesifikasi dan konfigurasi akhir berdasarkan keperluan operasi masing-masing.
Ketua Hal Ehwal Korporat Cendana Auto, Ruzaini Abdul Razak berkata, Magatti direka sebagai penyelesaian modular yang boleh disesuaikan mengikut kehendak pengguna.
Menurut beliau, rekaan kenderaan tersebut memberi penekanan pada kecekapan medan, pengurangan berat, dan integrasi sistem taktikal.

“Magatti bersedia untuk melalui fasa ujian dan penyesuaian lanjut bersama pelanggan yang berminat.
“Platform asal Magatti sebagai kenderaan operasi khusu (SOV) telah melalui ujian penuh oleh pihak pelanggan dan terbukti berfungsi dalam pelbagai senario taktikal.
“Bagaimana pun, varian terbaharu Magatti masih belum diuji secara rasmi oleh mana-mana pihak ketiga atau pengguna akhir,” ujarnya kepada DagangNews.
Kenderaan SOV ini kali pertama diperkenalkan pihak Cendana Auto pada Pameran Pertahanan Asia (DSA) 2024 lalu di Kuala Lumpur.


Ia menggunakan enjin turbo diesel 2.8 liter dengan kuasa lebih 200 kuasa kuda, cukup untuk menggalas beban operasi berat di medan tempur.
Difahamkan pihak Gerup Gerak Khas telah menguji kenderaan SOV Magatti sebelum ini.
Jelas Ruzaini, varian baharu Magatti menampilkan beberapa perubahan struktur yang signifikan, antaranya susun atur tempat duduk untuk meningkatkan keselesaan dan fleksibiliti konfigurasi penumpang.
Kedudukan dan jenis pelekap senjata telah disusun semula bagi menyokong pelbagai sistem persenjataan taktikal.
“Kita mengubah kedudukan senjata pelancar grened agar lebih mudah dikendalikan supaya dapat memberi keberkesanan semasa operasi.

“Ketinggian kenderaan juga diselaraskan untuk kesesuaian dengan pelbagai jenis medan dan profil operasi.
“Komponen struktur tertentu kenderaan telah dikurangkan atau diganti bagi mengurangkan berat keseluruhan tanpa menjejaskan integriti dan ketahanan,” ujarnya.
Varian baharu Magatti ini bukan sekadar penambahbaikan kosmetik, tetapi memperlihatkan kematangan industri pertahanan Malaysia dalam menghasilkan produk sendiri. - DagangNews.com







