KUALA LUMPUR 17 April – Syarikat automotif pertahanan tempatan, Cendana Auto Sdn Bhd (CASB) bakal mempamerkan dua model kenderaan taktikal utama pada pameran Defence Services Asia (DSA) 2026.
Dua aset tersebut adalah kenderaan perisai MIFV (rebuild) yang telah dinaik taraf serta prototaip kenderaan seksyen infantri atau ISV.
Ini antara produk terbaharu dibangunkan syarikat itu untuk ditawarkan kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Menurut CASB, ISV yang akan dipamerkan merupakan prototaip terbaharu hasil penambahbaikan daripada model terdahulu.


Kenderaan ini direka sebagai platform pengangkutan utama bagi menggerakkan satu unit taktikal kecil melibatkan 8 hingga 10 anggota bersama kelengkapan operasi.
Bergantung kepada keperluan misi, kenderaan ISV boleh terdiri daripada kenderaan ringan tanpa perisai sehingga kepada platform tempur yang dilengkapi persenjataan.
Namun, secara umumnya ISV diklasifikasikan sebagai kenderaan ringan dengan mobiliti tinggi, direka khusus untuk kegunaan bagi atrugerak pantas di medan.
Dalam masa sama, CASB turut menampilkan hasil program naik taraf MIFV yang dilaksanakan melalui kerjasama strategik bersama syarikat pertahanan Korea Selatan, Hanwha Aerospace.


Kerjasama ini dimeterai menerusi memorandum persefahaman (MoU) yang menjadi asas kepada pembangunan projek berkenaan.
Melalui kolaborasi tersebut, satu prototaip K200 MIFV yang telah dinaik taraf berjaya dibangunkan bagi tujuan ujian dan penilaian.
Fokus utama program ini melibatkan peningkatan keupayaan kuasa tembakan, mobiliti serta ketahanan sistem, sekali gus bertujuan memanjangkan jangka hayat operasi kenderaan berperisai itu.
Dalam perkembangan berkaitan, CASB memaklumkan bahawa pihaknya telah pun menyerahkan kenderaan Commander Combat Vehicle (CCV) kepada ATM pada suku keempat tahun lalu.


Menurut syarikat itu, reka bentuk awal CCV telah melalui beberapa fasa penambahbaikan selepas proses ujian termasuk perubahan yang dibuat berdasarkan keperluan pengguna.
Antara penyesuaian ketara melibatkan pengubahsuaian pada bahagian kabin belakang bagi meningkatkan keselesaan serta keupayaan operasi.
Penyertaan CASB pada DSA 2026 dijangka menjadi platform penting dalam memperkenalkan keupayaan industri pertahanan tempatan.
Ini sekali gus memperkukuh usaha memperkasakan aset mobiliti taktikal ATM melalui pembangunan teknologi dalam negara. - DagangNews.com








