KUALA LUMPUR 26 Feb - Cendana Auto Sdn. Bhd. (Cendana Auto) berjaya mendapat kontrak bagi membekalkan kenderaan pembawa misil Starstreak (KPMS) kepada Tentera Darat.
Starstreak merupakan misil pertahanan udara aras rendah (SHORAD) yang dioperasikan Gerup Artileri Pertahanan Udara (GAPU) buatan firma Thales Air Defence UK.
Menurut Ketua Hal Ehwal Korporat Cendana Auto, Ruzaini Abdul Razak berkata, kontrak berkenaan adalah untuk membekal 4 buah KPMS bernilai RM2.744 juta.
“Buat masa ini kita masih memperincikan fasa selanjutnya termasuk jadual penghantaran dan jangkamasa kenderaan disiapkan.


“Semua penilaian ini diputuskan sebelum Surat Serah Terima (SST) diterima daripada Kementerian Pertahanan (Mindef),” ujarnya kepada DagangNews.
Beliau bagaimana pun tidak menjelaskan secara terperinci reka bentuk kenderaan yang hendak dibekalkan itu.
Perolehan untuk membekal dan menghantar KPMS diumumkan pada Januari lalu melalui laman web e-perolehan Kementerian Kewangan.
Tentera Darat ketika ini menggunakan 2 jenis sistem pelancaran misil Starstreak iaitu yang diletakkan di atas kenderaan dan dilancarkan oleh penembak.

Tenggekan pelancar diletakkan di atas pelantar kenderaan secara terbuka.
Varian kedua ialah sistem Rapid Ranger STARStreak yang beroperasi secara autonomi dipasang di atas kenderaan jenis Uro Vamtac.
Rapid Ranger STARStreak memberi lebih daya mobiliti kepada sistem pelancar tersebut. - DagangNews.com







