CelcomDigi, Ericsson bentuk perkongsian strategik pacu transformasi 5G sektor O&G | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

CelcomDigi, Ericsson bentuk perkongsian strategik pacu transformasi 5G sektor O&G

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 11 Mac — CelcomDigi dan Ericsson membentuk perkongsian strategik bagi memacu penciptaan rumusan telekomunikasi berkuasa 5G yang disesuaikan dengan permintaan sektor minyak dan gas (O&G).
 

Kerjasama terbaharu dua syarikat itu bakal menggabungkan kelengkapan infrastruktur rangkaian dan kepakaran tempatan Celcomdigi dengan kepimpinan global Ericsson dalam teknologi 5G.
 

Kedua-dua pihak akan memanfaatkan makmal ujian 5G Standalone yang baru ditubuhkan CelcomDigi, untuk membangunkan dan menggunakan 5G dengan memberikan fokus antaranya kepada keselamatan yang dipertingkatkan.
 

"Ini dilaksanakan melalui penyelesaian yang didayakan 5G untuk meningkatkan keselamatan pekerja O&G dan pengesanan bahaya dalam persekitaran berisiko tinggi," katanya dalam satu kenyataan bersama.
 

Memorandum persefahaman itu dimeterai pada Mobile World Congress (MWC) di Barcelona, ​​Sepanyol oleh Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif CelcomDigi, Albern Murty dan Ketua Ericsson Malaysia, David Hagerbro.
 

Mengulas lanjut, kenyataan itu berkata, kedua-dua pihak juga akan menggunakan teknologi 5G untuk penjejakan aset dan kakitangan masa nyata.
 

Langkah tersebut jelasnya, mampu mengoptimumkan kecekapan operasi selain memperkasakan operasi O&G dengan analitik dan automasi data masa nyata secara digital untuk membuat keputusan yang lancar.
 

"Fokus terakhir kerjasama ini melibatkan isu jaringan kritikal misi bagi menyampaikan sambungan 5G yang boleh dipercayai dan sangat pantas untuk menyokong fungsi kritikal dan aplikasi industri," kata kenyataan itu.
 

Perkongsian ini menandakan satu langkah penting dalam memodenkan sektor O&G Malaysia kepada ekosistem perindustrian yang lebih bijak, selamat dan cekap yang dikuasakan oleh rumusan sambungan generasi akan datang.
 

Albern ketika mengulas mengenai perkongsian itu berkata, memandangkan CelcomDigi berkembang melangkaui ketersambungan menjadi syarikat teknologi telco, ia menyedari bahawa kunci potensi penuh 5G-AI terletak pada perkongsian industri yang kukuh.

 

"Kerjasama seperti ini membolehkan kami mencipta bersama penyelesaian bermakna yang melangkaui teknologi, secara langsung menangani cabaran industri dan mengubah operasi.

 

Kami berharap untuk membentuk sektor O&G yang lebih selamat, cekap dan sedia masa depan, serta mempercepatkan penggunaan 5G merentas industri sambil kami terus memacu pembangunan negara menjadi masyarakat digital 5G-AI,” katanya.


David pula dalam reaksinya berkata, Ericsson tetap komited untuk memastikan Malaysia kekal di barisan hadapan dalam inovasi digital dan kerjasama dengan CelcomDigi ini merupakan satu lonjakan strategik dalam transformasi digital Malaysia.


"Perkongsian kami dalam sektor O&G akan memacu rumusan masa nyata dari segi peningkatan kecekapan, keselamatan dan operasi pendigitalan yang akan mentakrifkan semula cara industri beroperasi di negara ini,” katanya. - DagangNews.com