CCK capai persetujuan ubah pemilikan saham Adilmart di Indonesia, Astrantia pegang 40% | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

CCK capai persetujuan ubah pemilikan saham Adilmart di Indonesia, Astrantia pegang 40%

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 15 DisCCK Consolidated Holdings Berhad bersetuju mengubah pemilikan saham PT Adilmart dari Indonesia susulan cadangan pelaburan dan pelupusan saham yang dikemukakan.


Berdasarkan pindaan tersebut, Astrantia Sdn Bhd kini memegang 40% daripada jumlah modal saham yang diperbesarkan untuk Adilmart, iaitu merupakan pengeluar produk makanan sejuk beku di negara itu.


Sehubungan itu jelas CCK, penguasaan Astrantia meningkat daripada komposisi asal yang melibatkan penambahan kepada 6,742 saham baharu, berbanding hanya kira-kira 5,409 saham sebelumnya.


"Perubahan berkenaan sudah diberitahu melalui surat tambahan bersama semua pihak berkepentingan untuk rujukan masing-masing," kata syarikat itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.


Susunan pemilikan saham terkini itu menjadikan CCK mempunyai sejumlah 85,728 saham atau 57% ekuiti, manakala CCK Fresh Mart cuma 4,500 saham (3%) dan Astrantia pula 60,152 saham (40%).
 

Perubahan saham itu melibatkan cadangan transaksi tunai bernilai RM88.1 juta, iaitu daripada pembelian 31,772 saham sedia ada Adilmart oleh Astrantia, mewakili kira-kira 26.5% ekuiti dalam Adilmart.


Selain itu, terdapat saranan langganan saham baharu sebanyak 27,047 saham oleh Astrantia bernilai RM75 juta, menjadikan jumlah keseluruhan cadangan transaksi saham berkenaan adalah lebih tinggi.
 

Kumpulan itu menegaskan semua terma dan syarat lain dalam perjanjian asal adalah kekal tidak berubah, dengan salinan surat tambahan ini boleh disemak di pejabat berdaftar syarikat tersebut.


Mereka yang ingin berbuat demikian boleh hadir ke ibu pejabat CCK di Kuching, Sarawak kerana semakan itu berlangsung dalam tempoh tiga bulan dari tarikh pengumuman. - DagangNews.com