KUALA LUMPUR 21 Okt – CBH Engineering Holding Berhad dijangka mampu meraih buku tempahan terkumpul yang mencecah RM800 juta, didorong oleh lonjakan pembangunan aktiviti projek pusat data (DC)
Menurut PublicInvestment Bank, perkembangan positif tersebut turut disebabkan banyak pelaksanaan strategik kapasiti pengeluaran baharu, termasuk usaha perluasan kehadirannya di Sabah dan Sarawak.
Susulan itu, firma penyelidikan tersebut menyemak naik unjuran hasil bagi tahun kewangan FY26 dan FY27 sebanyak purata 43%, mencerminkan keyakinan terhadap prospek pertumbuhan kukuh syarikat.
"Kami masih mengekalkan saranan 'outperform' dengan harga sasaran baharu iaitu 62 sen sesaham, berdasarkan potensi kenaikan 17 kali ganda pendapatan sesaham pada FY26," katanya dalam satu nota.
Unjuran itu jelas PublicInvest, turut mengambil kira prestasi semasa CBH sudah pun meraih kontrak baharu yang bernilai RM500 juta setakat tahun ini, serta buku tender semasa berjumlah RM710 juta.
Tambah firma tersebut, dianggarkan lebih 60% daripada keseluruhan tender yang diperoleh berkenaan terdiri daripada pelbagai projek berkaitan pusat data (DC) dengan menawarkan margin lebih tinggi.
Katanya, CBH pada 16 Oktober 2025 meraih kontrak DC bernilai RM20.7 juta di Johor, mengukuh lagi rekod prestasi syarikat dalam sektor yang semakin kritikal melibatkan transformasi digital negara.
"Walaupun projek ini hanya berskala sederhana, ia berjaya menonjolkan kecekapan pelaksanaan dan daya saing CBH dalam pasaran DC apabila diberikan tender itu berbanding syarikat lain," katanya.
PublicInvest menjelaskan permintaan berterusan dalam sektor DC, dipacu oleh pelaburan strategik operator besar global seperti Google dan Microsoft, membuka ruang pertumbuhan jangka panjang.
Dua syarikat gergasi tersebut sudah membeli ratusan hektar tanah di Selangor, Negeri Sembilan dan Johor bagi membangunkan kemudahan DC mereka di Malaysia yang turut memanfaatkan CBH sendiri.
Justeru kata firma berkenaan, dalam usaha menampung permintaan projek berteknikal tinggi, ia kini perlu ramai merekrut tenaga profesional dan turut memperkukuhkan keupayaan pelaksanaan dalaman.
"Kapasiti pengeluaran tahunan kumpulan tersebut kini dianggarkan sekitar RM700 juta, disokong oleh ramai tenaga kerja berpengalaman dalam sektor kejuruteraan DC yang kompleks," kata PublicInvest
Pada masa sama, CBH bersedia mengukuhkan kehadiran di Sabah dan Sarawak, yang menerima peruntukan pembangunan tertinggi dalam Belanjawan 2026, masing-masing sebanyak RM6.9 bilion dan RM6.0 bilion.
Kumpulan berkenaan juga jelas firma tersebut, berunding dengan pelbagai syarikat rakan kongsi tempatan bagi mempercepatkan lagi kemasukannya ke pasaran infrastruktur di dua negeri berkenaan.
PublicInvest turut menyatakan pelaburan swasta oleh syarikat besar akan diperkuatkan lagi dengan projek awam seperti awan kecerdasan buatan (AI) berdaulat dan pusat penyelidikan AI kebangsaan.
"Keadaan ini bakal mencetuskan permintaan baharu terhadap infrastruktur digital dan kejuruteraan lanjutan, selain menerika segmen bukan DC yang menunjukkan pertumbuhan secara sederhana," katanya.
CBH masih meneroka peluang perniagaan dengan syarikat seperti Tenaga Nasional Berhad (TNB) bagi memastikan kepelbagaian aliran hasil dan berada pada kedudukan strategik fasa peralihan digital.
Dengan asas kewangan kukuh dan buku tempahan yang jelas, menurut PublicInvest, CBH dijangka terus mencipta nilai kepada pelabur, seiring dengan transformasi digital nasional. - DagangNews.com








