CBH Engineering peroleh kontrak RM29.7 juta projek pencawang elektrik pusat data di Johor | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

CBH Engineering peroleh kontrak RM29.7 juta projek pencawang elektrik pusat data di Johor

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 27 AprilCBH Engineering Holding Berhad memperoleh kontrak bernilai RM29.69 juta bagi kerja-kerja pembangunan sebuah pencawang elektrik untuk projek pusat data (DC) di Johor.


Tender diraih anak syarikatnya, CBH Engineering Sdn Bhd, melibatkan pelbagai kerja reka bentuk, pembekalan, pemasangan serta pengujian dan pentauliahan pencawang pengguna berkapasiti 275kV.


Projek fasa 1 itu diberikan oleh sebuah syarikat tempatan yang terlibat dalam penyediaan prasarana DC dan perkhidmatan pemprosesan data, namun identitinya tidak didedah susulan perjanjian kerahsiaan.


"Skop kerja merangkumi pemasangan sistem voltan tinggi dan sederhana, peralatan pencawang, kerja kabel serta sistem pembumian dan perlindungan kilat," maklum kumpulan itu kepada Bursa Malaysia.


Jelas CBH Engineering, di samping itu projek berkenaan turut melibatkan integrasi dengan sistem pemeteran dan teknologi maklumat serta komunikasi (ICT) dimiliki Tenaga Nasional Berhad (TNB).


Kontrak terbaharu berkenaan ujar syarikat tersebut, berkuat kuasa mulai 27 April 2026 dan kerja-kerja yang ditetapkan itu dijangka dapat disiapkan sepenuhnya menjelang 30 September 2026.


Selain itu, kumpulan berkenaan menjangkakan kontrak ini akan menyumbang secara positif kepada pendapatan, keuntungan sesaham dan aset bersih sesaham syarikat sepanjang tempoh pelaksanaannya.


"Bagaimanapun, pada masa sama tender tersebut dijangka tidak pula memberi sebarang kesan kepada modal saham terbitan atau pegangan saham pemegang saham utama," tambah CBH Enginnering.


Lembaga pengarah kumpulan berkenaan menyatakan projek tersebut masih lagi tertakluk kepada risiko operasi biasa tanpa ada sebarang risiko luar jangka secara ketara, seperti kontrak sebelum ini.


Selain itu ujar syarikat tersebut, tiada kepentingan langsung atau tidak langsung melibatkan mana-mana pengarah, pemegang saham utama atau pihak yang berkaitan dalam kontrak projek DC berkenaan.


Sehubungan itu jelas CBH Engineering, lembaga pengarahnya berpandangan yang penerimaan kontrak ini adalah dalam urusan perniagaan biasa dan diterima demi kepentingan terbaik syarikat tersebut.


Secara keseluruhan, kontrak ini mengukuhkan kedudukannya dalam segmen kejuruteraan elektrik, khususnya pembangunan infrastruktur sokongan kepada industri DC yang berkembang pesat. - DagangNews.com