KUALA LUMPUR 5 Nov - CBH Engineering Holding Berhad mula meneroka peluang potensi projek tenaga di Sarawak dan dijangka meningkatkan prospek tempahan kontrak jangka sederhana, kata TA Securities.
Firma penyelidikan tersebut berkata, langkah terbaharu berkenaan dijangka mengekalkan momentum keuntungan kumpulan itu pada tempoh 3QFY25 dengan unjuran antara RM12.4 juta hingga RM14.4 juta.
Berdasarkan perkembangan itu jelasnya, keuntungan pada sembilan bulan pertama tahun kewangan semasa (9MFY25) mampu mencecah RM30.2 juta, atau 75% daripada unjuran tahunan firma tersebut sendiri.
"Pengurusan CBH Engineering optimis prospek penambahan tempahan baharu kekal kukuh, terutama melalui sektor infrastruktur tenaga pusat data (DC)," kata TA Securities dalam notanya hari ini.
Keyakinan itu berdasarkan pelaburan pesat pengendali skala global seperti Microsoft dan Google, ditambah dengan dasar kerajaan yang menyokong serta ketersediaan tanah luas dan bekalan elektrik stabil.
Sekiranya usaha berkenaan dilaksanakan kumpulan berkenaan, firma tersebut menjangka usaha itu terus mengukuhkan lagi kedudukan Malaysia sebagai hab DC terbesar untuk rantau Asia Tenggara.
Baki tender semasa CBH Engineering kini berjumlah RM710 juta, dengan 60% daripadanya berkaitan projek DC, menyokong keyakinan syarikat itu bagi memenuhi sasaran penambahan projek baharu FY25.
"Selain itu, pelaburan ke atas pelbagai projek stesen kecil bukan DC di Sarawak akan memanfaatkan peruntukan berjumlah RM42.8 bilion di bawah inisiatif kerajaan dari 2025 sehingga 2027," jelasnya.
TA Securities menilai perkembangan tersebut dijangka meningkatkan prospek tempahan projek jangka sederhana dan panjang syarikat berkenaan untuk bertapak dengan lebih stabil di negeri itu.
CBH Engineering juga memperkukuh kapasiti pelaksanaan projek dengan meningkatkan tenaga kerja, termasuk pengambilan jurutera kanan, bagi memastikan projek dilaksanakan tepat pada masanya.
Dari segi penilaian, firma penyelidikan itu mengekalkan harga sasaran 58 sen sesaham berasaskan nisbah harga kepada pendapatan (P/E) 19 kali, serta menaikkan pula saranannya kepada 'beli'.
"Ia susulan kejatuhan harga saham syarikat sebanyak 12% bulan ke bulan (MoM), menawarkan potensi kenaikan 21.2% dan menarik perhatian pelabur berikutan kedudukannya kukuh," kata TA Securities.
Secara keseluruhan, CBH Engineering teguh dalam sektor infrastruktur tenaga DC dan keupayaan berskala yang membolehkan syarikat memanfaatkan momentum pelaburan berterusan. - DagangNews.com








