KUALA LUMPUR 23 Dis - CBH Engineering Holding Berhad menerima dua surat penganugerahan (LOA) daripada sebuah syarikat tempatan untuk kerja-kerja melibatkan sebuah pusat data (DC) di Johor.
Tender itu diterima anak syarikat milik penuhnya, CBH Engineering Sdn Bhd untuk mereka bentuk, pemasangan, siap kerja serta pembekalan bahan untuk pengembangan stesen yang berkapasiti 275kV.
Kontrak bernilai RM130 juta, termasuk cukai jualan dan perkhidmatan (SST), diperoleh pada 23 Disember 2025, dengan LOA asal bertarikh 11 Disember 2025 serta dilaksanakan dalam tiga fasa.
"Fasa 1 bermula pada 23 Disember 2025, manakala dua fasa lagi disiapkan dalam tempoh tujuh bulan selepas arahan bertulis diterima daripada pelanggan," maklum CBH Engineering kepada Bursa Malaysia.
Menurutnya, kontrak ini tidak akan menjejaskan modal saham atau pegangan pemegang saham utama, sebaliknya dijangka menyumbang positif kepada keuntungan, aset bersih dan nisbah hutang syarikat.
Kumpulan tersebut yang berdaftar di Kuala Lumpur, terlibat secara aktif dalam pelbagai perkhidmatan kontraktor pendawaian elektrik dan pembekalan barangan elektrik kepada pelanggan.
Pihak lembaga pengarah CBH Engineering menyatakan bahawa penerimaan kontrak itu adalah dalam urusan perniagaan biasa syarikat tersebut dan adalah demi kepentingan terbaik kumpulan.
"Selain itu, tiada mana-mana pengarah, pemegang saham utama atau individu berkaitan mempunyai kepentingan langsung atau tidak langsung dalam kontrak tersebut," katanya lagi.
Pada masa sama, kontrak terbaharu ini juga tidak memerlukan sebarang kelulusan pemegang saham atau pihak berkuasa pengawalseliaan. - DagangNews.com








