CBH Engineering diyakini mampu capai sasaran RM600 juta FY26 disokong RM730 juta peluang kontrak M&E, pusat data - TA Securities | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

CBH Engineering diyakini mampu capai sasaran RM600 juta FY26 disokong RM730 juta peluang kontrak M&E, pusat data - TA Securities

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 28 April – Kontrak baharu bernilai RM29.7 juta yang diraih CBH Engineering Holding Bhd diyakini akan mengukuhkan lagi keterlihatan pendapatan syarikat dalam tempoh terdekat, selain menyokong pertumbuhan buku tempahan serta meningkatkan potensi perolehan kontrak baharu sepanjang tahun kewangan 2026, kata TA Securities.

 

Firma penyelidikan itu berkata, perkembangan itu turut mengukuhkan prospek CBH dalam segmen infrastruktur tenaga bagi pusat data, didorong oleh pipeline tender yang besar serta peluang berterusan daripada pembangunan pusat data berskala besar.

 

TA Securities juga mengekalkan saranan Beli terhadap saham CBH dengan harga sasaran RM0.80, mencerminkan potensi kenaikan sekitar 32.5% daripada harga semasa, dengan jumlah pulangan keseluruhan dianggarkan sekitar 33.9% termasuk dividen.

 

Menurutnya, sasaran perolehan kontrak baharu sebanyak RM600 juta bagi tahun kewangan 2026 kekal boleh dicapai, berikutan nilai tender semasa sekitar RM730 juta, yang berpotensi meningkat kepada RM800 juta hingga RM900 juta apabila mengambil kira projek berkaitan pusat data yang masih dimuktamadkan.

 

TA Securities turut menjangkakan buku tempahan syarikat akan terus berkembang yang memberikan aliran pendapatan lebih stabil dalam jangka sederhana, disokong oleh kedudukan kewangan kukuh dengan status tunai bersih.

 

“Selain itu, kejayaan melaksanakan projek sedia ada dijangka membuka peluang kepada CBH untuk memperoleh kontrak susulan, khususnya dalam pembangunan pusat data yang lazimnya dilaksanakan secara berfasa,” kata TA Securities dalam nota kajiannya.

 

Semalam, CBH mengumumkan bahawa anak syarikat milik penuhnya, CBH Engineering Sdn Bhd telah memperoleh kontrak bernilai RM29.7 juta daripada sebuah syarikat bagi pembinaan pencawang 275kV untuk sebuah pusat data di Johor.

 

ARTIKEL BERKAITAN: CBH Engineering peroleh kontrak RM29.7 juta projek pencawang elektrik pusat data di Johor

 

Kontrak itu merangkumi kerja reka bentuk, pembekalan, pemasangan, ujian dan pentauliahan, termasuk integrasi sistem dengan rangkaian Tenaga Nasional Berhad.

 

Kerja-kerja pembinaan dijadual bermula pada 27 April 2026 dan dijangka siap sepenuhnya menjelang 30 September 2026, sekali gus menjadikannya perolehan kerja pertama syarikat bagi tahun kewangan 2026.

 

Susulan kontrak tersebut, jumlah buku tempahan tertunggak CBH meningkat kepada RM621.5 juta, bersamaan kira-kira 2.8 kali hasil tahun kewangan 2025, memberikan keterlihatan pendapatan yang lebih jelas.

 

TA Securities menganggarkan kontrak berkenaan mampu menyumbang sekitar RM3.6 juta kepada keuntungan bersih syarikat, berdasarkan andaian margin bersih sebanyak 12%.

 

Firma itu turut menjelaskan bahawa perolehan kontrak tersebut adalah selari dengan jangkaannya, justeru tiada perubahan dibuat terhadap unjuran pendapatan syarikat buat masa ini.

 

Dalam masa sama, kedudukan CBH sebagai antara pemain awal dalam fasa pertama pembangunan pusat data berskala besar memberikan kelebihan strategik untuk terus terlibat dalam fasa-fasa seterusnya.

 

Sehubungan itu, CBH dilihat berada pada landasan kukuh untuk memanfaatkan pertumbuhan berterusan dalam sektor pusat data, khususnya dalam kerja-kerja kejuruteraan mekanikal dan elektrikal. - DagangNews.com