CBH Engineering berpeluang rebut banyak projek di Sabah dan Sarawak pada 2026, kata PublicInvest | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

CBH Engineering berpeluang rebut banyak projek di Sabah dan Sarawak pada 2026, kata PublicInvest

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 6 JanPublic Investment Bank menjangkakan CBH Engineering Holding Berhad berpeluang luas meraih lebih banyak projek kejuruteraan di Sabah dan Sarawak sepanjang tahun ini.


Firma penyelidikan tersebut menambah, potensi tinggi berkenaan susulan peruntukan pembangunan persekutuan yang disifatkan sebagai besar kepada kedua-dua negeri itu di bawah Belanjawan 2026.


Menurutnya, Sabah dan Sarawak masing-masing bakal menerima RM6.9 bilion dan RM6 bilion, yang dijangka memberi impak positif kepada aliran pelbagai projek infrastruktur, utiliti dan kemudahan tenaga.


"Peruntukan besar ini jika diperoleh, sudah mampu meningkatkan buku tempahan serta keterlihatan hasil CBH Engineering dalam tempoh sederhana hingga panjang," jelas PublicInvest dalam notanya.


Penglibatan kumpulan kejuruteraan itu dalam projek-projek berskala besar di dua negeri tersebut berpotensi menyumbang pendapatan secara berulang, mengoptimumkan penggunaan tenaga kerja dan aset.


Pada masa sama kata firma penyelidikan berkenaan, kontrak yang dimenangi syarikat tersebut dapat menyokong dan menjamin pengembangan margin keuntungan melalui skala operasi secara lebih besar.


Langkah CBH Engineering untuk menjalin kerjasama dengan rakan tempatan di Sabah dan Sarawak, turut dijangka mempercepat pelaksanaan projek serta mengurangkan risiko operasi sekiranya ada masalah.


"Sehubungan itu, kami mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran 62 sen, disokong saluran tender kukuh, serta pertumbuhan pesat ekosistem pusat data di Malaysia," tambah PublicInvest.


Selain itu, ia turut menyorot komitmen jangka panjang ramai pemain berskala global seperti Google LLC dan Microsoft Corp, serta inisiatif sektor awam termasuk pembangunan Sovereign AI Cloud.


Pembentukan pusat penyelidikan kecerdasan buatan (AI) nasional, juga dijangka terus merangsang permintaan perkhidmatan kejuruteraan mekanikal dan elektrik (M&E) yang ditawarkan CBH Engineering.


Kumpulan kejuruteraan M&E bersepadu itu terkenal dengan kepakaran dalam sistem pengagihan elektrik serta bangunan bagi sektor industri, komersial, hospitaliti dan pusat data. - DagangNews.com