CBH beli kilang, pejabat pegangan bebas daripada Syskon bernilai RM14.39 juta di Kota Kemuning | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

CBH beli kilang, pejabat pegangan bebas daripada Syskon bernilai RM14.39 juta di Kota Kemuning

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 13 OktCBH Engineering Holding Berhad memuktamadkan perjanjian jual beli bersyarat (SPA) dengan Syskon Corporation Sdn Bhd bagi sebidang hartanah industri di Kota Kemuning, Selangor.


Kumpulan itu berkata, ia meliputi tanah pegangan bebas seluas 3,866 meter persegi dan sebuah kilang satu tingkat bersama pejabat setinggi dua tingkat dengan nilai pembelian RM14.39 juta secara tunai.


Langkah strategik ini katanya, dijangka memberi kapasiti tambahan bagi menyokong pertumbuhan masa depan, selain mengurangkan kebergantungan kepada premis sewaan yang dilihat semakin membebankan.


"Kilang tersebut berkeluasan 1,858 meter persegi manakala pejabat pula 279 meter persegi dengan usia bangunan kira-kira 24 tahun," kata CBH dalam maklumannya kepada Bursa Malaysia hari ini.


Hartanah berkenaan jelasnya, yang terletak di Jalan Anggerik Mokara 31/48, Kawasan Industri Kota Kemuning, Shah Alam, akan dijadikan sebagai gudang penyimpanan milik syarikat kejuruteraan itu.


Pengambilalihan premis tersebut akan melibatkan sumber dana dalaman sebanyak RM4.39 juta dan RM10 juta lagi menerusi pinjaman bank dengan transaksi SPA sudah dimeterai rasmi pada 9 Oktober 2025.


CBH menjelaskan, pemerolehan hartanah ini bertujuan menggabungkan operasi sedia ada yang kini berselerak di beberapa premis yang disewa, serta bagi meningkatkan kecekapan dan menjimatkan kos.


Langkah itu juga mengurangkan kos sewaan, di samping menyediakan kestabilan jangka panjang dalam perancangan kapasiti dan menyediakan ruang tambahan tenaga kerja atau perluasan projek masa depan.


"Pembayaran secara berperingkat dengan deposit pendahuluan sebanyak RM287,800 dibayar pada 18 Ogos 2025, manakala baki deposit iaitu RM1,151,200 semasa penandatanganan SPA," tambah kumpulan itu.


Jumlah selebihnya kata CBH, sebanyak RM12,951,000 akan dibayar secara berperingkat dalam tempoh enam bulan dari tarikh SPA tersebut, dengan lanjutan satu bulan dan faedah 8% setahun, jika perlu.


Syarikat itu menjangkakan tiada kesan ke atas modal saham atau pegangan pemegang saham utama, serta kesan tidak material ke atas aset bersih bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025.


Lembaga Pengarah juga katanya, menyatakan keyakinan yang langkah ini selaras dengan kepentingan strategik kumpulan dalam jangka panjang dan optimis dapat selesai menjelang suku pertama 2026.


"Pada masa sama, CBH turut menegaskan yang tiada pengarah, pemegang saham utama atau pihak berkaitan yang mempunyai sebarang kepentingan dalam urus niaga ini," katanya. - DagangNews.com