Catcha Digital teroka perniagaan rumusan teknologi maklumat susulan pengambilalihan Nexible | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Catcha Digital teroka perniagaan rumusan teknologi maklumat susulan pengambilalihan Nexible

Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 28 Jan - Syarikat media digital dan pengiklanan, Catcha Digital Bhd berhasrat untuk mempelbagaikan perniagaannya dalam rumusan teknologi maklumat (IT).

 

Menurut Catcha, ia susulan pengambilalihan 51% pegangan dalam penyedia perkhidmatan perisian sebagai perkhidmatan (SaaS), Nexible Solutions Sdn Bhd, bernilai RM11.38 juta.

 

Pada masa ini, perniagaan pengiklanan media digital Catcha melalui iMedia Asia Sdn Bhd merupakan satu-satunya penyumbang pendapatan syarikat, yang diperoleh pada tahun 2011. 

 

Ia mengendalikan 13 penerbitan media digital, termasuk Goody, Oh! Media, Kimchi Daily, Beautiful Nara, Moretify, Weirdkaya dan The Reporter.

 

Perjanjian itu turut disertakan dengan jaminan keuntungan sebanyak RM700,000 untuk tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024 (FY2024), RM1.2 juta untuk FY2025, RM2.2 juta untuk FY2026 dan RM3.3 juta untuk FY2027 oleh Nexible.

 

"Berdasarkan jangkaan keuntungan selepas cukai (PAT) Nexible dan prospek positif untuk pasaran rumusan IT global, lembaga pengarah menjangkakan sekurang-kurangnya 25% daripada keuntungan bersih kumpulan akan disumbangkan oleh perniagaan rumusan IT menjelang FY2025," kata Catcha dalam pemfailan kepada Bursa Malaysia.

 

Jelasnya, kumpulan berhasrat untuk mempelbagaikan perniagaannya untuk merangkumi perniagaan rumusan IT.

 

"Oleh itu, lembaga pengarah mencadangkan untuk mendapatkan kelulusan daripada pemegang saham bagi pelan pempelbagaian yang dicadangkan," jelasnya.

 

Nexible dimiliki 85% oleh Ananprakash Saminathen dan 15% oleh Alagess Deraraj.


 
Pegangan 51% dalam Nexible yang akan dibeli oleh Catcha merangkumi 35.7% daripada Ananprakash dan 15.3% daripada Alagess.

 

Bagi suku ketiga berakhir 30 September 2024 (3QFY2024), Catcha mencatatkan lonjakan tiga kali ganda dalam keuntungan bersih kepada RM1.23 juta berbanding RM326,000 pada 3QFY2023, dengan pendapatan meningkat 54.97% kepada RM11.14 juta berbanding RM7.19 juta.

 

Catcha keluar daripada status Guidance Note 2 (GN2) pada Julai 2023, selepas menyiapkan pelan regularisasi.

 

Syarikat itu jatuh ke status GN2 pada Ogos 2017, selepas penjualan aset digitalnya ketika itu, Rev Asia Holdings Sdn Bhd, kepada Media Prima Bhd dengan nilai RM105 juta. - DagangNews.com